Peralihan kuasa dianggap positif kepada ekonomi negara – pengurus dana

0
401
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan dianggap sebagai positif kepada perkembangan ekonomi negara oleh pengurus dana negara.

Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin berkata indikasi yang diperoleh ialah pengurus dana melihat perubahan yang berlaku pada 10 Mei lalu, dengan perubahan kerajaan baharu sebagai suatu yang positif dan mereka akan memainkan peranan masing-masing untuk membantu mengukuhkan ekonomi.

Beliau berkata demikian bagi pihak bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, yang diisytiharkan penubuhannya pada Jumaat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Daim, ahli Majlis Penasihat Kerajaan termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Merican, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok dan Ahli Ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundara.

Menurut Kadir, Daim yang mewakili Majlis Penasihat Kerajaan menemui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan iaitu wakil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Khazanah Nasional Berhad, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji.

“Pada dasarnya, ia merupakan syarikat pelaburan kerajaan yang terbesar dan mereka mempunyai banyak modal dan amat aktif melabur dalam saham dan bon.

“Hari ini (Ahad) Tun (Daim) memberi taklimat kepada mereka mengenai jangkaan tinggi rakyat dan juga para pelabur, tempatan dan antarabangsa.

“Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa kita melakukan yang terbaik untuk tidak mengecewakan mereka. Esok (Isnin) akan menjadi hari pertama, pasaran dibuka selepas cuti panjang dan esok akan menjadi hari yang penting dari segi pasaran yang akan membuat penilaian terhadap kerajaan baharu,” katanya kepada Bernama News Channel selepas pertemuan Daim dengan pengurus dana itu pada Ahad.

Kadir berkata pengurus dana tempatan amat besar dan mereka mempunyai lebih banyak wang berbanding yang dapat diserap pasaran tempatan.

Menurut Kadir, hari ini (Isnin) akan terdapat pertemuan dengan pengurus dana.

Katanya Majlis Penasihat Kerajaan turut menyarankan kepada pengurus dana yang mempunyai maklumat tambahan yang hendak disampaikan kepada majlis itu boleh diberikan pada bila-bila masa.

Kadir berkata dalam pertemuan bersama Daim, pengurus dana itu telah memberikan taklimat mengenai kegiatan umum mereka dan pelaburan dalam pasaran saham.

Katanya mereka turut memaklumkan kepada bekas Menteri Kewangan itu mengenai apa yang mereka lakukan untuk memberi sumbangan dan perkhidmatan yang sebaiknya kepada rakyat khususnya apabila negara mempunyai kerajaan baharu.

Menurut Kadir, antara perkara yang Daim maklumkan kepada kepimpinan syarikat itu adalah kerajaan baharu mahu mereka beroperasi sebagai badan profesional tanpa gangguan politik.

Katanya mereka mempunyai kebebasan dan budi bicara untuk melakukan apa yang terbaik untuk syarikat mereka bagi memberi faedah kepada negara.

“Dulu pun begitu, semasa beliau (Daim) Menteri Kewangan, ahli-ahli profesional yang menguruskan syarikat kerajaan, diberi hak sepenuhnya untuk menguruskan syarikat dan pertubuhan masaing-masing, kerana mereka lebih tahu.

“Jadi, (Tun) Daim mahu kita balik ke zaman tu, cuma mereka harus faham dasar-dasar dan matlamat kerajaan baharu ini,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here