Perancis lanjutkan perintah darurat

0
11


PARIS: Parlimen Perancis mengundi untuk melanjutkan darurat sehingga 1 November ini, langkah pertama dilaksanakan selepas pengebom nekad dan penyerang membunuh 130 orang dalam serangan serentak di ibu kota negara itu pada hujung 2015.

Ahli perundangan semua parti menyokong langkah itu kecuali parti berhaluan kiri, France Unbowed dan parti Komunis, yang menyifatkan langkah itu bahaya kepada kebebasan sivil.

“Kebebasan dan keselamatan tidak eksklusif. Apabila kita mengukuhkan keselamatan, kita tidak merampas kebebasan sivil, kita pelihara dan kadang-kadang meningkatkannya,” kata Menteri Dalam Negeri, Gerard Collomb.

Perancis yang turut menyertai tentera antarabangsa diketuai Amerika Syarikat menyerang Daesh di Iraq dan Syria, menjadi sasaran gelombang serangan militan Islam sejak awal 2015, hampir semuanya dilakukan penyokong Daesh atau individu yang terpengaruh dengan pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi mengkritik perintah darurat itu, berkata ia melanggar hak individu dan menjejaskan undang-undang.

Perintah darurat membolehkan polis menggeledah rumah dan menahan sesiapa tanpa memerlukan kebenaran mahkamah.

Ia juga membolehkan mereka memeriksa komputer dan komunikasi telefon dengan lebih bebas. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here