Perang perdagangan AS-China akan lebih jejaskan pasaran pesat membangun

0
222
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perang perdagangan yang semakin serius antara Amerika Syarikat dan China dijangka lebih menjejaskan negara pesat membangun yang bergantung kepada eksport ketika permintaan dunia menyusut, serta mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mereka sebanyak 0.2 hingga 0.4 mata peratusan, kata pakar ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi, Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Dr Khor Hoe Ee berkata negara pengeluar komoditi akan kurang terjejas.

Beliau berkata, perang perdagangan itu turut memberi kesan ke atas pasaran kewangan sehingga bank pusat perlu memutuskan untuk menaikkan kadar faedah, sekali gus menyebabkan pertumbuhan lebih rendah.

“Ketidakpastian lebih besar adalah bagaimana ia akan menjejaskan pasaran kewangan dan kesan limpahan ke atas keyakinan, pelaburan dan kadar faedah.

“Ini boleh memberi kesan lebih besar kepada pasaran kewangan,” katanya kepada pemberita selepas Siri Meja Bulat ASEAN bertajuk ‘What Lessons Learned from Financial Crises of Recent Times’ (Apakah Iktibar Daripada Krisis Kewangan Baru-baru Ini) di sini, pada Rabu.

Pakar ekonomi itu berpandangan kebanyakan pasaran pesat membangun di Asia agak kukuh, selain beliau yakin negara pesat membangun di rantau ini telah mengambil langkah proaktif bagi menghalang sebarang krisis daripada berlaku.

“Pada jangkaan saya walaupun dalam keadaan ketidaktentuan modal, mereka akan mampu mengharungi kejutan ini.

“Saya yakin bahawa tiada krisis kewangan akan berlaku di negara-negara rantau ini,” katanya.

Khor berkata pada jangka sederhana, penting untuk memperkukuh jaringan keselamatan kewangan serantau dan mempercepat agenda pembaharuan berstruktur bagi penyepaduan pendapatan berterusan pada jangka panjang.

Beliau berkata selain itu, AMRO turut yakin terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, sejajar dengan amalan fiskal lebih baik dan potensi pemulihan harga minyak mentah pada masa depan.

“Kami sedang berbincang dengan pihak berkuasa untuk memahami apa keutamaan dasar baharu yang akan dilaksanakan. Saya tidak fikir akan ada perubahan besar namun pastinya ekonomi ini perlu diselaraskan semula.

“Bagaimanapun, keseluruhannya, kami amat yakin terhadap prospek Malaysia,” katanya.

Meja Bulat itu dianjurkan oleh CIMB ASEAN Research Institute (CARI) dengan kerjasama Kelab Perniagaan ASEAN serta Forum Monetari dan Institusi Kewangan Rasmi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here