Percaturan PKNP menjadi

0
7
Advertisement



KUALA LUMPUR: Percaturan PKNP FC untuk terus mengetepikan penyerang importnya, Franklin Anzite dan meletakkan kepercayaan kepada kemampuan penyerang tempatan nyata membuahkan hasil selepas mereka berjaya mengejutkan Selangor 3-0 pada aksi pembukaan Piala Malaysia, malam tadi.

Situasi itu diakui pengendalinya, Abu Bakar Fadzim yang melihat pemain tempatan yang diberi peluang terus membuktikan kemampuan mereka dan pembabitan mereka di atas padang membantu gerakan serangan pasukan nampak lebih tersusun.

“Saya terpaksa mengambil keputusan yang fleksibel dan adil kepada semua pemain dengan mengetepikan Franklin. Banyak peluang sudah diberikan kepadanya namun gagal memberikan impak yang dimahukan.

“Ketiadaan Franklin dan kemasukan pemain tempatan nyata menjadikan barisan serangan kami lebih baik dan mampu melancarkan gerakan serangan daripada setiap bahagian.

“Kita juga dapat menggunakan banyak ruang yang ada dan sentiasa memberikan tekanan kepada Selangor. Ia berhasil kerana kami berjaya menjaringkan tiga gol dan lebih penting adalah kami tidak dibolosi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi pertama Kumpulan D di Stadium Shah Alam itu, PKNP FC ‘mencemarkan’ parti kepulangan Selangor ke stadium keramat terbabit sebagai tuan rumah apabila membenam juara 33 kali itu dengan keputusan 3-0.

Dua gol pada babak pertama menerusi Hafiz Ramdan dan Fandi Ahmad serta jaringan ketiga oleh Ritus Krjauklis sudah cukup untuk membuat pasukan itu meraih mata penuh pada penampilan kedua mereka dalam saingan berprestij itu.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Abu Bakar menyifatkan kemenangan itu mampu menjadi titik perubahan buat pasukannya namun mengakui beliau enggan selesa memandangkan ia hanya perlawanan pembukaan.

“Satu perkara yang bagus apabila dapat membuka kempen dengan langkah kanan tetapi saya mahukan pemain supaya meneruskan prestasi sama untuk mengutip mata dalam baki lima perlawanan lagi.

“Ini baru perlawanan pertama jadi peluang semua pasukan masih lagi terbuka. Momentum perlu diteruskan kerana selepas mengharungi tiga atau empat perlawanan, barulah tekanan yang lebih besar akan dirasai,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here