Percaya formula Ancelotti

0
66



Berlin: Pengerusi Bayern Munich Karl-Heinz Rummenigge menegaskan kelab gergasi Jerman itu tetap menyokong ketua jurulatih Carlo Ancelotti biarpun tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan Piala Jerman dalam tempoh seminggu.

Kedatangan April dilihat membawa bencana buat Bayern dan Ancelotti, yang menjadi jurulatih kelab buat musim pertamanya.

Khamis lalu, Bayern tewas separuh akhir Piala Jerman 2-3 kepada musuh ketat Borussia Dortmund di laman sendiri, lapan hari selepas tersingkir daripada suku akhir Liga Juara-Juara di tangan Real Madrid.

Kekalahan itu menyebabkan mereka gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, pencapaian tanpa kemenangan terburuk dalam tempoh 17 tahun.

Rummenigge menjelaskan bahawa beliau dan presiden kelab Uli Hoeness masih menyokong Ancelotti – buat masa ini.

“Carlo adalah jurulatih yang bagus dan berpengalaman,” kata Rummenigge kepada akhbar harian Jerman Bild semalam.

“Kontraknya (sehingga 2019) sudah sedia maklum dan tidak akan dibincangkan.”

Bayern memulakan kempen pada April 13 mata mendahului pesaing mereka di Bundesliga dan hampir meraih gelaran trebel iaitu Liga Juara-Juara, liga dan piala Jerman.

Kelebihan itu bagaimanapun berkurang kepada lapan mata dan Rummenigge berkata bahawa kecederaan selain keputusan pengadil yang tidak memihak mereka menjadi punca mereka tersingkir daripada saingan Eropah dan Piala Jerman.

Apa yang dimaksudkan beliau adalah kecederaan bahu yang menyebabkan penyerang Robert Lewandowski tidak dapat beraksi sehingga pasukannya kalah 1-2 kepada Real pada aksi pertama dan kad merah yang dilayangkan kepada Arturo Vidal sewaktu kalah di Madrid, menyebabkan Bayern tewas 2-4 selepas masa tambahan.

“Apa yang tidak boleh dilupakan, dua minggu lalu kami berada di atas sana dengan gred A1 di sebelah nama kami,” kata Rummenigge.

“Kemudian sesuatu berlaku di bawah kawalan: kecederaan, keputusan pengadil dan ada kalanya kami tidak bertuah.”

Bayern masih mempunyai hadiah sagu hati dengan menamatkan April ini dengan lima gelaran Bundesliga berturut-turut hari ini.

Mereka akan disahkan sebagai juara liga Jerman 2016/17 sekiranya menang ke atas Wolfsburg dan pasukan di tangga kedua RB Leipzig tewas atau seri kepada Ingolstadt di tempat sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here