Percubaan pertama Putera Band menjadi

0
16


Putera Band.

KUALA LUMPUR: Bukan semua kumpulan baharu mampu mencipta populariti menerusi percubaan sulung, namun tuah menyebelahi Putera Band apabila taruhan pertama menerusi single, Rebahku Tanpamu menaikkan nama mereka.

Dianggotai empat remaja iaitu Muhammad Haziq Hasbullah atau Haziq, 17, selaku vokalis; Mohamad Alift Abu Hasan Asa’Ari (Alepp, 19, dram); Muhammad Aidid Farhan Suhami (Aidid, 14, bass) dan Mohammad Fitri Abu Hasan Asa’ri (Baby, 16, gitar utama), Putera Band mampu menarik nafas lega apabila video muzik rasmi yang dimuat naik di laman YouTube meraih lebih 8.3 juta tontonan.

“Pastinya kami gembira apabila pertaruhan pertama diterima baik peminat. Pada mulanya, kami bagaikan tidak percaya dan menganggapnya, seperti mimpi. Syukur kerja keras kami mula menampakkan hasil dan bakat Putera Band semakin diterima serta dikenali,” kata Haziq.

Populariti yang pantas diraih itu membuatkan mereka enggan terus hanyut, sebaliknya Putera Band nekad berusaha untuk memastikan jangka hayat kumpulan itu panjang dan bertahan dalam radar industri hiburan.

“Kami sentiasa memastikan perbincangan diadakan dari masa ke semasa. Setiap ketidakpuasan hati akan kami luahkan pada sesi itu kerana tidak mahu sebarang masalah timbul hingga menjejaskan perancangan jangka panjang.

“Pastinya sebagai orang baharu, kami berdoa dan berharap supaya kumpulan ini terus kekal bersatu dalam arena muzik,” katanya lagi.

Haziq berkata, Putera Band mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia dibangunkan atas gabungan bakat empat ahlinya tanpa bergantung kepada individu tertentu. Atas dasar itu, mereka bersetuju untuk bergabung dan mencuba nasib dalam bidang seni.

Mereka juga menyimpan impian untuk mengukir nama sehebat kumpulan muzik legenda seperti Wings dan Search yang terus bertahan merentas masa.

“Kami mahu kekal bersama ketika susah dan senang. Kami juga akan memperjuangkan muzik kami supaya terus diterima semua pendengar dengan baik.

“Bagi kami, tiada gunanya andai melahirkan muzik yang bersifat syok sendiri dan tidak diterima oleh pendengar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here