Perdagangan dua hala topik utama perbincangan Najib – Trump pada 12 Sept

0
46

KUALA LUMPUR: Isu mempertingkatkan perdagangan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat merupakan antara topik utama yang akan dibincangkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu Presiden Donald J. Trump di White House pada 12 Sept ini.

Najib berkata isu lain yang akan dibincangkan termasuk memerangi keganasan, kerjasama ketenteraan serta peranan Malaysia dalam usaha menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai zon aman dan harmoni.

“Saya akan membuat sidang media sebelum saya berlepas kerana saya kini dalam proses perbincangan di peringkat dalaman.

Namun antara topik utama ialah memerangi keganasan, IS, ketenteraan serta peranan Malaysia dalam usaha menjadikan Asia Tenggara sebagai zon aman, harmoni, selain isu perdagangan dan bagaimana kita dapat meningkatkan hubungan ekonomi dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Washington, D.C. atas jemputan Trump pada tarikh tersebut.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Amerika Syarikat mengalu-alukan untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala kedua-dua buah negara dan hubungan itu telah dipertingkatkan di bawah kepimpinan Najib dengan menjadikannya perkongsian yang lebih komprehensif berdasarkan kepentingan bersama.

Menurut Kedutaan Amerika Syarikat, Trump mengalu-alukan untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Amerika Syarikat-Malaysia dan berharap dapat berbincang cara “memperkukuh dan memperluas hubungan dua hala kita dan mengembangkan kerjasama serantau dengan negara antara rakan paling rapat Amerika di Asia Tenggara.”

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here