Perit tanggung kekalahan: Southgate

0
21
Advertisement



SAINT PETERSBURG: Pengurus England, Gareth Southgate berkata kekalahan 1-2 The Three Lions kepada Croatia dalam aksi separuh akhir Piala Dunia akan kekal dalam ingatannya selamanya, namun tetap yakin skuad kendaliannya tetap bersemangat untuk membawa pulang pingat sagu hati daripada Russia.

Selepas mendapat gol pendahuluan awal, England akhirnya tumbang menerusi jaringan kemenangan masa tambahan Mario Mandzukic, sekali gus mengakhiri perjalanan sulung ke pentas empat terbaik sejak 1990.

“Dari segi mentaliti, jelas sekali ia menjadi tempoh beberapa hari yang sukar,” kata Southgate kepada pemberita. “Saya menonton perlawanan itu pada jam 4 pagi hari ini. Ia akan terus kekal dalam ingatan saya selamanya.

“Kami hanya dipisahkan 20 minit daripada aksi final Piala Dunia, dan kemudiannya dalam masa tambahan kami hanya dipisahkan 10 minit daripada penentuan penalti untuk ke final.

“Tanpa ragu-ragu, ia pastinya akan terus kekal bersama saya. Sebab utama kami ke sini adalah untuk mencapai sasaran yang besar.

“Kami kembali ke Saint Peterburg pada jam 6.30 pagi sehari selepas perlawanan, jadi ia menjadi hari penuh emosi buat kami.”

England kini perlu mengumpulkan semula semangat menjelang pertembungan getir tempat ketiga berdepan Belgium, yang berjaya mengatasi pasukan pilihan Brazil di suku akhir sebelum perjalanan tersekat di tangan Perancis.

Southgate berkata: “Kami mempunyai motivasi yang besar untuk menutup kempen Piala Dunia kali ini dengan memenangi pingat, yang mana setakat ini hanya sebuah skuad England berjaya melakukannya.

“Pemain saya amat menakjubkan. Tenaga dan keinginan mereka begitu tinggi, kami berhutang dengan rakyat negara kami untuk mengakhiri kempen dengan baik. Kami sudah menetapkan tahap kerja dan permainan yang tinggi dan kami mahu mengekalkan tahap itu hingga ke akhir.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here