Perkhidmatan rel Singapura antara Joo Koon ke Tuas Link dihentikan sementara

0
18

SINGAPURA: Operasi perkhidmatan kereta api dari stesen Joo Koon ke Tuas Link dalam laluan Timur-Barat dihentikan buat sementara waktu, kata SMRT Corporation, pengendali perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) republik itu.

Dalam makluman terkininya di laman Twitter pagi ini, SMRT berkata perkhidmatan bas biasa dan pengantara percuma beroperasi antara stesen sepanjang hari.

Dalam kejadian awal pagi Rabu, sebuah kereta api SMRT melanggar sebuah lagi kereta api yang tidak bergerak di stesen Joo Koon, menghala ke barat, ke stesen Tuas Link.

Dalam makluman terkini Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menyatakan 27 penumpang dan dua staf SMRT cedera.

Terdapat lima hentian ke stesen Tuas Link dari stesen Joo Koon.

Laluan Timur-Barat , yang lebih dikenali sebagai ‘Green Line’ mempunyai 35 stesen bermula dari Tuas Link hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Penemuan awal oleh LTA menunjukkan kereta api pertama meninggalkan Depoh Ulu Pandan dengan ciri perisian perlindungan tetapi ciri itu tanpa disedari dikeluarkan apabila kereta api pertama melepasi sebuah litar isyarat yang rosak.

Kereta api itu kemudiannya tiba di stesen Joo Koon tanpa ciri perlindungan itu, mengakibatkan keretapi pertama memberikan profilnya sebagai kereta api tiga gerabak kepada sistem isyarat yang baharu, bukannya sebagai kereta api enam gerabak.

Natijahnya, kereta api kedua mengesan keretapi pertama sebagai kereta api tiga gerabak dan tersilap anggaran jarak antara kedua-dua kereta api dan mengakibatkan perlanggaran, kata LTA.

Sejumlah 517 penumpang berada di dalam kereta api yang sedang bergerak dalam kelajuan 16km/jam semasa berlanggar dengan kereta api yang tidak bergerak itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here