Perlukah saya tidur sekatil dengan Fattah Amin? – Alvin Chong

0
17

PELAKON Alvin Chong akui risau apabila ditugaskan untuk menjalani penggambaran program realiti The House bersama aktor Fattah Amin.

“Pada awalnya, saya sedikit risau apabila mengetahui saya bakal menjalani penggambaran The House bersama Fattah. Saya menonton juga rancangan The House musim sebelum ini dan saya tahu format rancangan tersebut.

“Peserta harus duduk serumah serta berkongsi segala kemudahan yang ada dan perkara itu merisaukan saya. Saya merupakan seorang yang pembersih dan boleh dikatakan saya mempunyai sedikit sifat Obsessive Compulsive Disorder (OCD).

“Pelbagai perkara bermain di minda saya, adakah Fattah seorang yang pembersih? Adakah saya perlu tidur sekatil dengan Fattah? Adakah saya perlu berkongsi tandas bersama Fattah? Saya tak suka orang yang sepahkan katil dan saya kurang gemar jika tandas yang digunakan basah.

“Akhirnya, saya menjalani penggambaran The House bersama Fattah selama sembilan hari di Hutan Belum dan kerisauan saya hilang. Semuanya berjalan lancar. Fattah seorang yang baik dan pandai membawa diri,” kata Alvin kepada Astro Gempak.

Bakal bersiaran pada September ini, Alvin mendedahkan dia lebih mengenali Fattah ketika sama-sama menjalani penggambaran The House.

“Sebelum ini saya ingat saya sudah kenal siapa Fattah ketika kami sama-sama membintangi drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot. Namun begitu, jangkaan saya meleset. Saya nampak banyak sisi lain Fattah ketika bersamanya selama sembilan hari.

“Jika anda ingin tahu sisi berbeza Fattah dan saya, jangan lupa saksikan The House yang akan ditayangkan tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran aplikasi Gempak di The Bee, Publika baru-baru ini.

Platform digital hiburan nombor satu Malaysia, Gempak memperkenalkan wajah baharu dan melancarkan aplikasi Gempak yang boleh dimuat turun secara percuma.

Menerusi aplikasi Gempak, pelbagai kandungan eksklusif, video menarik, berita hiburan dan informasi terkini, tips dan tutorial, gaya hidup dan siri televisyen tempatan dan luar negara boleh diakses dengan lebih pantas.
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here