Permaisuri Johor ziarah pusara Thaqif Amin

0
63



JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli menziarahi pusara pelajar tahfiz Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11 tahun, di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi hari ini.

Raja Zarith Sofiah yang hadir kira-kira jam 3.30 petang disambut oleh ahli keluarga bersama Pegawai Daerah Kota Tinggi Dr Badrul Hisham Kassim dan Kadi Daerah Kota Tinggi Suhaimi Rebu.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yasin yang diketuai oleh Suhaimi sebelum Raja Zarith Sofiah menyiram air mawar ke pusara Allahyarham.

Turut kelihatan ibu kepada Allahyarham Mohamad Thaqif, Felda Wani Ahmad.

Mohamad Thaqif disahkan meninggal dunia pukul 2.05 petang di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, pada Rabu lepas.

Selesai majlis, Raja Zarith Sofiah berangkat meninggalkan tanah perkuburan kira-kira pukul 4 petang.

Sementara itu, ibu Allahyarham Felda Wani Ahmad ketika ditemui selepas bacaan Yasin itu terharu dengan keprihatinan Permaisuri Johor yang sanggup mencemar duli datang menziarahi arwah anaknya ketika masih hidup dan setelah arwah tiada.

Tambahnya, walaupun dia dan keluarga hanya rakyat biasa, namun baginda tetap meluangkan masa untuk melawat selain memberi kata-kata semangat.

Dalam pada itu, Felda Wani turut memberitahu bahawa beliau reda dengan pemergian anaknya dan tidak menyalahkan pihak madrasah dalam kes ini.

Felda Wani yang merupakan seorang guru berkata beliau suami isteri sedang memberi kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

“Kami tidak mahu tuding jari, anak saya pun sudah tiada. Kami cuma cari jalan yang terbaik saja.

“Semua ini perancangan Allah,” kata Felda Wani lagi.

Felda Wani dalam pada itu menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk melarikan diri daripada pihak media, namun sedang mencari kekuatan bagi menjawab segala pertanyaan berkenaan nasib anaknya.

Felda Wani juga berkata bahawa beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan memberi sokongan kepadanya sekeluarga.

Menurutnya, majlis tahlil buat Allahyarham akan diteruskan selama tujuh hari.

Allahyarham yang merupakan pelajar tahfiz di Madrasah Tahfiz Al Jauhar (MTAJ) Kota Tinggi disyaki mengalami jangkitan kuman pada bahagian kaki selepas disebat pembantu warden madrasah berkenaan.

Kedua-dua belah kaki Allahyarham terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan daripada terus merebak.

Namun hayat Allahyarham tidak lama apabila arwah menghembuskan nafas terakhir sejurus sebelum pembedahan memotong tangan kanannya dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here