Perodua sasar jualan Myvi baharu sehingga 80,000 unit pada 2018

0
23

PENGELUAR kereta kompak terkemuka Malaysia, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan jualan antara 75,000 dan 80,000 unit bagi model Myvi serba baharu pada 2018, kata Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata, Perodua menerima 8,000 unit tempahan untuk semua lima varian kereta Myvi baharu itu setakat ini sejak 9 Nov lepas.

Katanya, kira-kira 80 peratus daripada jumlah tempahan itu adalah untuk model 1.5 cc.

“Sehingga hujung tahun ini, kita menyasarkan antara penjualan 15,000 dan 16,000 (unit Myvi) di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di pameran kereta tersebut sempena program Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2017 di sini, hari ini.

Myvi serba baharu itu menampilkan lima varian iaitu 1.3 Standard (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 15 Advance (AT).

Zainal Abidin berkata Myvi serba baharu berharga RM44,300 hingga RM55,300 itu adalah antara kereta nilai terbaik untuk wang bagi lingkungan harga tersebut.

Pelancaran kereta tersebut dilakukan oleh Menteri MITI Datuk Seri Mustapa Mohamed di Putrajaya pada 16 Nov lepas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here