Perodua serah lebih 38,000 Myvi daripada 70,000 tempahan

0
555
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah menyerahkan lebih 38,000 unit Myvi baharu di seluruh negara pada minggu ketiga bulan lepas daripada 70,000 tempahan yang diterima daripada 8 November 2017 sehingga 30 April 2018.

“Kami teruja dan gembira kerana berjaya mencatat kejayaan ini menjelang akhir April,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dr Zahari Husin.

Menurutnya, Perodua sedang berusaha meningkatkan kecekapannya untuk memastikan penghantaran dibuat dalam dalam tempoh yang wajar.

“Ketika ini tempoh menunggu untuk varian 1.5L Myvi adalah di bawah tiga bulan. Bagaimanapun, varian 1.3L boleh diserahkan hampir serta-merta,” kata Zahari.

Myvi generasi ketiga adalah model yang paling canggih dan asli dalam sejarah 25 tahun Perodua, yang menampilkan inovasi Malaysia seperti pembaca kad tol terbina dalam dan pendining udara memori digital.

Perangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) daripada Januari hingga Mac mendedahkan bahawa pengeluar kereta kompak itu menjual 55,568 kenderaan berbanding 135,140 jumlah keseluruhan industri (TIV), menguasai 41 peratus pasaran.

“Ini merupakan peningkatan lebih 10.5 peratus berbanding 50,260 unit yang dicatat pada suku pertama 2017, menjadikannya jualan tertinggi pada suku pertama bagi Perodua dari segi jualan,” katanya.

Jualan 55,568 tersebut terdiri daripada 24,473 Myvi, 14,962 Axia, 10,101 Bezza dan 6,032 Alza.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here