Persaraan Ozil kejutkan Loew

0
392
Advertisement



BERLIN: Tindakan Mesut Ozil bersara daripada bola sepak antarabangsa ternyata mengejutkan ketua jurulatih Jerman Joachim Loew.

Loew sedang bercuti di Sardinia apabila berita mengenai persaraan Ozil heboh diperkatakan kelmarin dan beliau hanya mengetahuinya apabila pemain tengah Arsenal itu mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter dan Instagram.

“Baik saya mahu pun ketua jurulatih, kami tidak diberitahu mengenainya lebih awal,” kata ejen Loew Harun Arslan yang mengesahkannya kepada akhbar Jerman Bild.

Ozil, 29, mencetus gempar apabila mengumumkan persaraannya daripada tugasan bersama Jerman dan mendakwa Presiden FA Jerman Reinhard Grindel, bersikap rasis.

“Di mata Grindel  dan penyokongnya, saya seorang Jerman apabila kami menang tetapi saya seorang imigran apabila kami kalah,” kata Ozil dalam kenyataan perpisahannya.

Ozil yang menjuarai Piala Dunia 2014 dilahirkan di Gelsenkirchen tetapi berketurunan Turki.

Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) semalam menafikan dakwaan Ozil mengenai sikap perkauman namun kes itu menjejaskan reputasi badan induk bola sepak negara itu.

Kaji selidik dalam talian membabitkan 5,000 penduduk Jerman menunjukkan 49.7 peratus berpendapat Grindel patut meletak jawatan.

Ozil berkata dia meninggalkan Jerman susulan kekecohan yang berpunca daripada pertemuannya dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menjelang Piala Dunia ketika Grindel gagal membelanya sewaktu berdepan kritikan.

Apabila Jerman tersingkir daripada Piala Dunia di Russia selepas peringkat kalah mati, Ozil dijadikan kambing hitam oleh segelintir pengkritik di dalam skuad pemain senior yang gagal mempamerkan aksi cemerlang.– AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here