Persatuan insurans nafi dakwaan syarikat anggota terima 'potongan' daripada hospital

0
23

KUALA LUMPUR: Persatuan insurans mengesahkan tidak ada syarikat anggota dan pengendali takafulnya meminta ‘potongan’ daripada hospital untuk kos perubatan yang ditanggung oleh pemegang polisi mereka.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia berkata mereka memandang berat dakwaan tidak berasas oleh pihak hospital terbabit.

Mereka berkata syarikat insurans dan pengendali takaful bekerja rapat dengan pihak hospital dan pentadbir pihak ketiga bagi memastikan kos penjagaan kesihatan kekal mampu ditanggung.

Persatuan itu berkata kenaikan kadar premium sejak tahun-tahun kebelakangan ini didorong oleh inflasi yang tinggi dalam kos penjagaan kesihatan, dengan purata 12 peratus setahun sejak 2010 hingga 2014, dan dijangka meningkat kepada 15 peratus pada masa depan, disebabkan beberapa faktor.

Permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik oleh segmen penduduk yang kaya, faktor penuaan dalam kalangan penduduk serta kadar penyakit kronik yang semakin berleluasa selain penyakit yang berpunca daripada gaya hidup seperti hipertensi, diabetes dan obesiti, merupakan faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Selain peningkatan kos ubat dan rawatan, kemajuan teknologi dalam penjagaan kesihatan juga mendorong kepada peningkatan bagi penggunaan teknologi rawatan kesihatan moden di pusat kemudahan perubatan

“Sebagai contoh, kita sudah berubah daripada imbasan X-ray kepada imbasan Tomografi Komputer (CT) dan kini kepada Magnetic Resonance Imaging (MRI). Sekali gus, pengguna mempunyai pilihan rawatan diagnostik yang lebih luas,” katanya.

Bayaran yang dikenakan oleh doktor di hospital swasta untuk perundingan dan pelaksanaan prosedur pada masa ini dikawal selia mengikut Jadual Ketiga Belas Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta.

Bagaimanapun, komponen lain caj hospital seperti bayaran penginapan hospital, penyiasatan makmal, penjagaan kejururawatan, penggunaan peralatan dan bilik operasi dan ubat tidak dikawal, yang menjurus kepada pelbagai kos yang berbeza dalam kalangan hospital swasta.

Syarikat-syarikat insurans dan pengendali takaful telah mengemukakan cadangan pelaksanaan beberapa langkah dalam mengurus kos penjagaan kesihatan yang semakin tinggi, termasuk menyarankan kerajaan supaya mengawal selia dan mencadangkan harga runcit produk farmaseutikal, alat perubatan (contoh stent, implan) dan ubat-ubatan.

“Walaupun bayaran khidmat doktor dikawal selia, tiada peraturan pada masa ini untuk membendung kenaikan harga ubat-ubatan,” katanya.

Di samping itu, kerajaan wajar memberi mandat kepada semua hospital untuk mempamerkan kos rawatan masing-masing bagi membolehkan pemegang polisi insurans memilih rawatan yang diperlukan dan mengetahui jumlah yang perlu dibayar oleh pengendali insurans dan takaful masing-masing.

Persatuan itu berkata hospital juga perlu memastikan pengguna mengetahui mereka boleh meminta bil terperinci bagi mengetahui perincian kos rawatan/ubat yang diberikan kepada mereka.

“Penyedia penjagaan kesihatan, terutama hospital swasta, juga harus telus dalam penetapan harga semua produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.

Persatuan itu berkata syarikat insurans dan pengendali takaful akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan penyedia penjagaan kesihatan untuk memastikan kos rawatan perubatan ditetapkan secara adil dan rawatan yang disyorkan adalah berasaskan keperluan klinikal.

“Kos perubatan semakin meningkat, dan syarikat insurans dan pengendali takaful akan meneruskan usaha untuk mengekalkan premium insurans kesihatan pada tahap yang adil dan berpatutan, dengan kerjasama semua pihak berkepentingan untuk manfaat semua pengguna,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here