Persepsi terhadap sektor hartanah Malaysia terus stabil

0
38

KUALA LUMPUR: Keyakinan terhadap sektor hartanah Malaysia kekal stabil pada separuh pertama 2017 dengan 36 peratus responden dalam Kaji Selidik Pengguna Malaysia PropertyGuru berpuas hati dengan keadaan pasaran bagi tempoh tersebut.

Sebanyak 24 peratus responden berkongsi pandangan berkecuali manakala persepsi negatif berkurangan kepada 39 peratus berbanding 53 peratus pada suku pertama 2015.

Sentimen itu turut didorong oleh persepsi kestabilan harga untuk semua jenis kediaman di Malaysia, kata PropertyGuru dalam satu kenyataan, hari ini.

“Faktor utama dibangkitkan oleh pengguna yang berpuas hati secara menyeluruh adalah harga hartanah yang beransur-ansur stabil, khususnya bagi kediaman bertanah di pusat bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

“Ini jelas berbeza dengan kenaikan ketara harga kediaman itu pada tahun-tahun sebelumnya yang turut diburukkan dengan aktiviti spekulasi sehingga menjejaskan pasaran ┬átermasuk berlakunya lebihan penawaran bagi kelas hartanah tertentu,” katanya.

Pengurus PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata pada masa ini, sebahagian besar pasaran hartanah itu merangkumi kalangan pemilik,penghuni atau pelabur jangka panjang.

Malah, kebanyakan harta tanah itu dibeli oleh keluarga atau pasangan baru berkahwin yang memanfaatkan kemudahan pendapatan bersama (mendapatkan pinjaman), sekaligus meningkatkan momentum transaksi jualan dan belian.

“Kediaman yang dibeli pula berada di lokasi jauh dari pusat bandar dan terbukti menjadi aliran utama pada 2016 dan 2017.

“Faktor-faktor sedemikian memacu pembangunan pasaran hartanah yang lebih stabil dengan peningkatan harga yang lebih kecil berbanding beberapa tahun lepas namun lebih stabil serta mampan,” katanya.

Menurut Sheldon, sektor hartanah itu bagaimanapun dijangka menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada separuh kedua 2017 berikutan peningkatan kos sara hidup, penyusutan nilai ringgit dan faktor-faktor lain.

Mengulas impak pilihan raya yang mungkin diadakan tahun ini, beliau berkata rakyat Malaysia secara amnya lebih bersikap ‘tunggu dan lihat.’

Berikutan itu, katanya, transaksi berkenaan mungkin akan berkurangan sebelum berlangsungnya pilihan raya itu dan momentum itu dijangka meningkat semula selepas proses berkenaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here