Persiapan Welson tak jejas

0
134
Advertisement



PERENANG terbaik negara Welson Sim memaklumkan bahawa dia menghormati keputusan Paul Birmingham meletakkan jawatan sebagai jurulatih renang negara dan menegaskan perkara itu tidak mengganggu persiapannya ke Sukan Asia Indonesia bulan depan.

Bagaimanapun perenang kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu mengakui bahawa dia masih belum mengetahui hala tujunya selepas Sukan Asia apabila Birmingham secara rasmi melepaskan jawatannya sebagai jurulatih renang negara.

Sukan Asia Indonesia akan menjadi tugasan terakhir buat jurulatih dari Sydney Australia itu sejak mengendalikan skuad renang negara pada 2008.

“Buat ketika ini saya masih lagi bersama Paul untuk ke Sukan Asia dan ia tidak menganggu persediaan saya.

“Tapi selepas itu saya tidak tahu perancangan seterusnya dan semua terpulang kepada ASUM.

“Namun apa yang pasti misi saya masih lagi sama iaitu cuba untuk melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Ditanya sama ada dia berasa kecewa dengan keputusan Birmingham, Welson yang menjadi perenang pertama negara layak ke Olimpik atas tiket kategori A dalam dua acara iaitu 200 dan 400m berkata, dia menghormati keputusan jurulatihnya itu dan berterima kasih atas segala tunjuk ajar, bimbingan dan dorongan yang diberikan selama ini.

“Sekarang ini saya amat berharap jurulatih baru nanti akan dapat membantu dan sesuai dengan kami agar misi ke Olimpik terlaksana,” katanya yang meraih dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur menerusi acara 200 dan 400m selain mencipta rekod baru temasya dalam acara 400m.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here