Pertahanan Reds goyah

0
36
Advertisement



LONDON: Liverpool berdepan krisis di bahagian pertahanan menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu West Ham United selepas hanya dua pertahanan senior, Virgil van Dijk dan Joe Gomez yang cergas dan boleh diturunkan, kata pengurusnya, Juergen Klopp.

Joel Matip (pinggul) dan Ragnar Klavan (hamstring) terlepas aksi persahabatan bertemu Napoli, Sabtu lalu dan kini belum pasti sama ada dapat diturunkan pada aksi pramusim terakhir bertemu Torino, esok.

“Kita perlu menunggu keadaan Joel, Klavan pula mungkin tidak begitu serius. Namun saya tidak tahu sama ada mereka boleh diturunkan untuk aksi liga,” kata Klopp.

“Mungkin kita memerlukan melakukan sedikit silap mata untuk formasi bagi perlawanan esok. Saya tidak tahu bagaimana kami dapat melakukannya.”

Pertahanan Croatia, Dejan Lovren akan kembali menyertai pasukan hari ini selepas menikmati rehat Piala Dunia namun turut berdepan masalah sama untuk dua perlawanan selepas ini.

“Dejan langsung tidak berlatih setakat ini. Mungkin dia tidak akan beraksi esok dan juga pada Ahad nanti.

“Dua perlawanan pertama liga adalah aksi pramusim bagi pemain yang beraksi di Piala Dunia.”

Skuad The Reds itu menamatkan saingan liga di tangga keempat musim lalu namun berjaya mara ke final Liga Juara Juara sebelum tewas 1-3 di tangan Real Madrid.

“Saingan liga tetap sukar. Ia bukanlah saat di mana kita menilai situasi kita sendiri dan menyatakan kita sudah cukup bagus.

“Kami perlu sentiasa bersedia pada setiap minggu dan bukan setakat untuk beberapa perlawanan. Inilah cabarannya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here