Pertandingan video kreatif tidak diskriminasi mana-mana pihak – KKM

0
144
Advertisement



KUALA LUMPUR: Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRH) Remaja Kebangsaan 2017 yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mendiskriminasi mana-mana pihak dan ia tidak bertentangan dengan hak asasi manusia.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata pertandingan bermula 1 Jun lalu hingga 31 Ogos yang bertemakan ”Hargai Diri, Amalkan Gaya Hidup Sihat” itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada remaja mengenai gaya hidup sihat.

“Tajuk tersebut dipilih berikutan peningkatan statistik masalah kesihatan berkaitan SRH dalam kalangan remaja dan KKM berharap pertandingan ini akan dapat memperkasa remaja dalam membuat keputusan dan pilihan bijak mengenai SRH mereka.

“Mengenai isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), KKM mengamalkan prinsip kesihatan untuk semua tanpa diskriminasi. Sehingga kini terdapat 23 klinik STI Friendly khusus untuk memberi perkhidmatan kepada golongan berisiko tinggi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berita portal online yang melaporkan kritikan aktivis trans-gender yang dikatakan tersinggung dengan topik kecelaruan gender pada pertandingan tersebut yang berpendapat ia akan menggalakkan diskriminasi, kebencian dan keganasan terhadap kumpulan minoriti.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here