Pertembungan hidup mati

0
34



Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Benjamin Mora menganggap pertembungan menentang Ceres Negros FC pada separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara di Stadium Panaad, Bacolod City, malam esok ibarat misi hidup dan mati.

Biarpun berkelebihan satu gol selepas Johor DT menang tipis 3-2 ke atas kelab dari Filipina itu pada separuh akhir pertama di Stadium Larkin, namun Mora tidak mahu selesa dengan keputusan itu sebaliknya menyifatkan kedudukan masih 0-0.

Beliau juga menolak tanggapan Johor DT akan beraksi secara bertahan bagi mengekalkan kemenangan lalu sebaliknya corak permainan terbuka dan memberi tekanan kepada taktikal menyerang akan dipraktikkan pada perlawanan itu nanti.

“Ada baki 90 minit lagi dan kami tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan yang diraih tempoh hari malah penekanan sepanjang latihan tertumpu untuk memburu kemenangan dan mengelak daripada pasukan lawan menguasai perlawanan.

“Ia ibarat final buat kami dan saya akan mempertaruhkan kesebelasan terbaik selain menguatkan benteng pertahanan bagi mengelak posisi itu mudah dibolosi seperti yang berlaku pada separuh akhir pertama lalu dan persembahan mantap Marcos Antonio ditagih untuk menyekat percubaan berbahaya lawan.

“Barisan serangan Johor DT juga tidak boleh melepaskan peluang untuk menjaringkan gol selepas kami terlepas untuk mencipta gol pada aksi lalu biarpun memiliki situasi merobek gawang lawan,” katanya.

Menurut Mora, persiapan skuad Harimau Selatan sepanjang bulan puasa tidak terjejas ketika semua pemain mempamerkan kesungguhan dan begitu bersemangat turun berlatih sejak hari pertama bulan Ramadan dan berlepas ke Filipina awal pagi kelmarin.

Malah, beliau mengingatkan pemain Johor DT supaya berwaspada dengan kelicikan tiga tonggak utama Ceres, Bienvenido Maranon, Manuel Ott dan Fernando Rodriguez yang menjadi tunjang utama kelab dari Filipina itu apabila sering memaksa Johor DT bekerja keras mengekang gerakan berbahaya mereka.

Katanya, kemungkinan anak didik Risto Vidakovic akan beraksi agresif untuk memburu gol awal pada aksi itu dan perancangan taktikal yang rapi dibuat bagi mengelak kelab dari Filipina itu mendominasi perlawanan.

“Kami sedar kekuatan dan kelemahan pasukan itu dan mereka juga tahu apa yang dimiliki Johor DT dan saya anggap ia perlawanan seimbang malah kami akan turun habis-habisan untuk memburu kemenangan,” ujar Mora.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here