Pertempuran di Marawi, ATM pertingkat kawalan sempadan

0
60



Kawalan di sempadan negara khususnya di Sabah dipertingkat bagi mengelak penyusupan anggota kumpulan bersenjata ke Malaysia susulan pertempuran dengan tentera Filipina di bandar Marawi, Mindanao.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata anggota kumpulan berkenaan berkemungkinan cuba melarikan diri dari bandar tersebut berikutan tekanan daripada pihak berkuasa Filipina.

“(Kita) bimbang ada yang larikan diri dan menyusup masuk ke dalam negara. Oleh itu kawalan keselamatan terutama di Sabah diperketat dan diperkemaskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Ihya Ramadan di Masjid Khalid Al-Walid di ibunegara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas serangan ke atas bandar Marawi oleh kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pergerakan pengganas Daesh yang mengakibatkan anggota pasukan keselamatan Filipina terkorban dan orang awam terpaksa berpindah.

Ekoran insiden tersebut, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah selatan negara itu.

Selain itu, Raja Mohamed Affandi berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina bagi memastikan insiden tidak diingini berlaku.

“Pertukaran maklumat sentiasa dilakukan bagi menentukan tindakan yang wajar dilakukan oleh ATM dalam memastikan keselamatan negara terjamin selain ATM turut melakukan rondaan bersama Polis Diraja Malaysia di 200 kawasan seperti lapangan terbang,” katanya.

Ditanya mengenai insiden bot KD Perdana yang terputus hubungan di perairan Sedili, Johor, Sabtu lepas Raja Mohamed Affandi berkata siasatan bagi mengenal pasti punca bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terputus hubungan sedang dijalankan.

Katanya, insiden itu secara tidak langsung membuka mata pihaknya untuk memperbaiki kelemahan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Kejadian itu beri kita cahaya untuk baiki kekurangan dan ini perlunya berada di tahap latihan yang tertinggi,” katanya.

– Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here