Pesan PM buat ulama, umarak

0
30



Umat Islam di negara ini perlu menolak segala fahaman ekstrem yang membawa kepada kerosakan seperti memusuhi antara satu sama lain atau mengambil nyawa sendiri atas nama Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Merujuk kepada kejadian pengeboman bunuh diri di Manchester, England dan pertempuran pasukan keselamatan Filipina dengan kumpulan militan di Marawi, Mindanao yang melibatkan rakyat Malaysia baru-baru ini, beliau menyorot antara tunggak maqasid syariah adalah memelihara nyawa sendiri dan orang lain.

“Jangan kita lupa, salah satu daripada lima perkara maqasid syariah adalah memelihara nyawa, bukan untuk kita membunuh diri kita atau membunuh orang lain.

“Nyawa itu bukan milik kita tetapi milik Allah SWT sahaja yang menentukan hendak mencabut nyawa kita atau memanjangkan nyawa kita,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama para ulama, umarak dan pemimpin pertubuhanbukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya malam ini.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib turut menekankan betapa pentingnya umat Islam untuk bersatu padu dalam memartabatkan Islam dan menjamin masa depan ummah.

Katanya penyatuan merupakan asas untuk mencapai segala impian dan cita-cita murni yang mulia kerana agenda memartabatkan Islam tidak mampu dipikul oleh kerajaan sahaja.

“Sekiranya berdepan dengan musuh yang bersatu padu dan ada strategi licik tetapi kita sendiri pulau memulau antara satu sama lain, kita mengetepikan antara satu sama lain dan tidak mencari jalan penyatuan, nescaya kita akan tewas kepada musuh Islam,” katanya.

Sertai iftar

“Sebahagian besar rakyat Malaysia adalah umat Islam dan kerajaan sahaja tidak boleh memenuhi agenda Islam melainkan NGO-NGO sebagai rakan kongsi kerajaan yang berjuang kerana Allah SWT, maka penyatuan itu adalah senjata yang paling ampuh untuk mencapai cita-cita murni kita,” katanya.

Beliau turut menekankan betapa perlunya golongan ulama dan umarak untuk terus berjuang dengan kejujuran dan memimpin atas sifat adil dan amanah untuk terus memartabatkan Islam dan demi kepentingan ummah.

“Mengikut hadis Rasulullah SAW, dua golongan ini (ulama dan umarak) kalau baik, baiklah; kalau tidak baik maka rosak segalanya,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah dan menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama 1,500 jemputan termasuk golongan asnaf dan anak yatim.

Selesai iftar, Najib dan para tetamu menunaikan solat Isyak disusuli solat sunat Tarawih.

Perdana menteri turut menyampaikan Bantuan Galakan Hafaz al-Quran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berjumlah RM803,205 kepada 319 huffaz Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 90 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin, Klang, Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor dan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim/Miskin Rukaiyah, Kajang.

Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here