Pesawat Airbus A350 dilancarkan di KKIA

0
28
Advertisement

KOTA KINABALU: Pesawat baharu Airbus A350 XWB yang menggantikan pesawat A380 milik syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB), mampu meningkatkan lagi tahap industri penerbangan negara selain mengurangkan kos operasi MAB.

Ketua Pegawai Komersil MAB, Arved von zur Muehlen berkata, pesawat A350 itu mampu mengurangkan kos operasi sebanyak 25 peratus berbanding A380 untuk penerbangan ke London, England dan mampu menawarkan perkhidmatan yang selesa kepada penumpang.

“A380 ini merupakan pesawat yang sangat besar dan jika dilihat kepada pasaran di Malaysia, ianya melebihi daripada kapasiti penumpang diperlukan setakat ini.

“Sehubungan itu, unit kos akan menjadi lebih rendah tetapi kita cuba memenuhkan pesawat setiap hari.

“Itulah cabaran dan laluan ke London amat tinggi persaingannya, maka kami fikir A350 lebih bersesuaian untuk kita dan juga rangkaian sedia ada,” kata Muehlen sempena pelancaran pesawat itu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun.

Terdahulu, Muehlen yang hadir bersama rombongannya dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dengan menggunakan pesawat berkenaan berkata, pesawat baharu itu juga ditingkatkan dengan ciri-ciri teknologi terkini, sesuai dengan keselesaan penumpang bagi laluan penerbangan jarak jauh.

“Pesawat terbaharu ini turut mengutamakan kualiti udara yang ditingkatkan secara signifikan dan sistem penapisan udara baru ini juga tidak menyebabkan anda mendapat udara kering, ianya amat segar. Kami mempunyai produk Kelas Ekonomi yang menyajikan ruang merehatkan kaki yang amat selesa,” tambahnya.

Pesawat jenis Airbus A350 XWB mendarat di KKIA selepas berlepas dari Kuala Lumpur petang tadi dengan nombor pesawatnya MH2614 bagi melaksanakan tempoh percubaan sebelum dijadualkan memulakan penerbangan pertamanya ke London, pada 15 Jan nanti.

Pesawat berkenaan tiba jam 4 petang di KKIA dengan membawa penumpang dan rombongan dari MAB yang terdiri daripada 35 penumpang kelas perniagaan dan 120 penumpang Kelas Ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here