Peserta Iran, Malaysia juara qari, qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa

0
96


KUALA LUMPUR: Qari dari Iran, Hamed Alizadeh Marghzari Gholamhassan dan qariah dari Malaysia, Normalina Alias masing-masing diumumkan juara qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59 yang berlangsung malam tadi.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

Hamed Alizadeh Marghzari memperoleh markah 89.96 peratus manakala Normalina memperoleh markah 91.52 peratus.

Sementara Awangku Muhd Adibul Amin Pengiran Marjuki dan Dayang Siti Noor Dzuhairah Awang Damit, kedua-duanya dari Brunei muncul naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000.

Qari dan qariah yang memenangi tempat ketiga pula ialah Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Malaysia dan A”tiiqah Suhaimi dari Singapura yang membawa pulang wang tunai RM20,000.

Johan tilawah bagi kategori qariah Noramalina Alias dari Malaysia memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran pada majlis Penutup dan Pengurnian Hadiah sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - Foto Bernama
Bagi Kategori Menghafaz Al-Quran Bahagian Lelaki, Diallo Mouhamed Al Muoudjtaba dari Senegal muncul juara, Muhammad Syazani Jemy (Malaysia) di tempat kedua dan Ammar Abdulla A. Sakini (Qatar) di tempat ketiga.

Kategori Menghafaz Al-Quran Bahagian Wanita pula dimenangi Aishatu Musa Gale dari Nigeria, Zainab M.S. Hijawi (Palestin) di tempat kedua dan Ngom Ndeye Diarra (Senegal) di tempat ketiga.

Johan bagi Kategori Menghafaz Al-Quran menerima kepingan emas bernilai RM50,000, wang tunai RM20,000 dan piala iringan manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000.

Majlis tilawah yang bertemakan ”Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah” berlangsung selama enam hari bermula Isnin lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Sebanyak 91 peserta daripada 46 negara menyertai majlis tilawah kali ini dengan 22 buah negara menyertai kategori Tilawah Al-Quran dan 24 negara menyertai kategori Hafazan Al-Quran.

Turut berangkat pada majlis itu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri Toh Puan Majimor Shariff, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Noramalina, 35, yang merupakan ibu kepada seorang anak memberitahu pemberita beliau tidak menyangka usahanya yang berlatih membaca al-Quran kira-kira enam jam sehari sejak Ogos tahun lepas membuahkan hasil pada malam ini..

“Kejayaan ini merupakan pengorbanan dari ramai pihak termasuk suami saya, anak, anggota keluarga lain dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya,” katanya.

Katanya dengan kemenangan itu beliau berazam untuk membantu dan mengajar sesiapa sahaja yang berminat membaca al-Quran agar lebih banyak qari dan qariah dari Malaysia yang berkualiti dapat dilahirkan.

Noramalina turut memberitahu, pada tilawah itu beliau menggunakan sebuah al-Quran lama yang dihadiahkan datuknya.

Beliau menerima Al-Quran itu ketika berumur lapan tahun dan menggunakannya sehingga kini walaupun kitab suci itu telah usang.

Bagi Hamed Alizadeh Marghzari, 26, beliau memang menjangkakan kemenangannya kerana telah berlatih sehingga tujuh jam sehari sejak enam bulan lepas.

Beliau yang mula menguasai dan menyertai pertandingan membaca Al-Quran sejak berumur 15 tahun telah memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan negara Iran sebanyak tujuh kali.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here