Petanda buruk wakil Asia di Russia

0
23
Advertisement



WAKIL empat pasukan dari Asia di Piala Dunia gagal mencatat sebarang kemenangan empat tahun lalu dan harapan mereka untuk memperbaiki rekod itu tampak samar selepas pasukan handalan Jepun dan Korea Selatan bergelut dengan prestasi.

Lima negara dari konfederasi Asia layak ke Piala Dunia 2018 namun keputusan buruk Arab Saudi dibelasah 0-5 di tangan tuan rumah pada aksi pembukaan seakan memberi petanda nasib sama bakal menimpa mereka seperti di Brazil.

Dalam tempoh 16 tahun sejak Jepun dan Korea Selatan menganjurkan kejohanan serta berjaya mara ke separuh akhir, mereka kemudian hanya sekali melepasi halangan peringkat kumpulan pada 2010.

Jurulatih kelahiran Perancis, Philippe Troussier membimbing Jepun layak ke pusingan 16 pasukan terakhir di laman sendiri pada 2002 namun percaya mereka tidak ada peluang untuk beraksi di pusingan kalah mati kali ini meskipun berjaya mengelak daripada bertemu pasukan pilihan kumpulan masing-masing.

Jepun memecat jurulatih Vahid Halilhodzic pada April lalu namun keputusan melantik Akira Nishino gagal mengubah nasib mereka apabila tewas kepada Ghana dan Switzerland dalam aksi pemanas badan.

“Jika mereka menggunakan khidmat (Jose) Mourinho atau Arsene Wenger sekali pun, Jepun masih sukar untuk mara ke pusingan kedua,” kata Troussier kepada AFP.

Keengganan Halilhodzic menurunkan beberapa pemain bintang Jepun seperti Keisuke Honda dan Shinji Kagawa menjadi punca pemecatan jawatannya.

Bagaimanapun, walaupun pemain berkenaan kembali beraksi, Jepun ternyata kurang memiliki individu berbakat berbanding pasukan lawan dalam Kumpulan H.

Colombia diperkuatkan dengan pemain seperti James Rodriguez, Poland boleh menurunkan Robert Lewandowski manakala bintang Liverpool, Sadio Mane menjadi tonggak Senegal.

Korea Selatan mempunyai pemain berbakat Son Heung-min yang beraksi bersama Tottenham.

Heung-min menjaringkan 18 gol musim ini termasuk empat dalam kancah Liga Juara-Juara namun dia gagal membawa prestasi itu ketika menyarung jersi kebangsaan.

Kekalahan kepada Bosnia dan Senegal serta seri 0-0 dengan Bolivia pada aksi pemanas badan tidak banyak membantu dalam menyuntik keyakinan Korea Selatan untuk menyaingi Mexico atau Sweden dalam perebutan tempat kedua dalam Kumpulan F yang dijangka bakal dikuasai Jerman.

Persembahan buruk Arab Saudi di Moscow menentang pasukan bertaraf sederhana Russia memberi amaran awal buat Australia yang menjadi satu lagi wakil Asia untuk berdepan pasukan hebat Perancis esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here