Petanda 'hadiah' daripada dewa, Gunung Agung dijangka gegar Bali

0
119
Advertisement
BALI: Putera dari sebuah keluarga diraja Bali, Putera Tjokorda Raka Putra, menjangkakan sebuah ‘hadiah’ daripada dewa Gunung Agung sejak tanda-tanda letupan gunung suci tersebut mula dikesan sejak 19 September lalu.

Gunung di pulau peranginan Bali itu dikatakan boleh meletus pada bila-bila masa sahaja oleh sebab ratusan gegaran yang dirasai setiap hari.

Pihak berkuasa tempatan sudahpun mengisytiharkan keadaan darurat dengan lebih 120,000 penduduk dalam radius 12km dari gunung itu telah dipindahkan.

54 tahun sejak letupan terakhir

Tanggal 19 Februari 1963 menyaksikan letupan terbesar Gunung Agung dalam sejarah Indonesia yang meragut lebih 1,100 nyawa dan memusnahkan ratusan kampung di wilayah Karangasem dalam jangka masa lebih kurang satu tahun.

Seperti yang disaksikan Putera Tjokorda dan penduduk Bali lain, ‘hadiah’ tersebut berupa asap tebal, batu dan lahar dari puncak gunung tersebut.

“Hadiah itu seperti bom di puncak gunung. Asap tebal dan lahar melonjak tinggi ke langit,” kata putera itu di istana beliau di Klungkung, kepada portal Channel NewsAsia.

Tambah beliau lagi, lahar mengalir sejauh tujuh kilometer dari kawah.

Bali dilanda debu dan ribut pasir setiap hari dengan dihujani batu-batu dari langit serta abu tebal di serata pulau, menurut agensi berita ABC.

Antara 1963 dengan 1964, sekitar 280 juta meter padu dimuntahkan dari gunung suci itu.

Lahar mengalir sejauh 14km ke utara dan 12km selatan.

Menurut kajian pemerintah Bali pada waktu itu, letusan seterusnya tidak akan menjadi sebesar tragedi 1963.

Namun, ketua mitigasi gunung berapi bagi Indonesia Timur Dr Devy Kamil Syahbana tidak menolak kemungkinan letusan yang akan datang ini adalah sebesar letusan tersebut.

Apakah tragedi 1963 bakal berlaku lagi?

Ke hadapan pada September 2017, perkara yang sama boleh terjadi lagi, mungkin lebih awal dari jangkaan para pengkaji gunung berapi.

Gunung suci itu boleh meletus dalam masa beberapa jam, hari atau lebih lama lagi.

Perkara ini mungkin disebabkan aktiviti magma tidak menentu dalam kawah ketika lahar panas cuba mencapai permukaan gunung.

Sejak tragedi 1963, tiada gegaran dilaporkan dari Gunung Agung.

Walau bagaimanapun, lebih 700 gegaran telah dikesan dalam sehari pada minggu lepas, dengan gegaran terkuat berlaku pada 4.3 skala Richter.

Frekuensi gegaran yang sebegitu kerap berlaku merisaukan ahli-ahli seismologi kerana tidak pernah terjadi sebelum ini pada peristiwa ledakan yang lain.

“Jumlah lebih 700 gempa bumi dalam sehari adalah sangat tinggi. Angka akan terus meningkat jika gegaran berterusan. Letupan boleh berlaku dalam masa beberapa jam,” kata Dr Syahbana.

Selain gempa berterusan, beliau juga mengesan perubahan mendadak pada permukaan kawah Gunung Agung.

Titik panas terus merebak di serata Bali dengan rekahan di puncak gunung yang merancakkan pergerakan asap tebal.

Namun, para pengkaji dan penduduk Bali masih ada harapan.

“Masih ada 10 peratus peluang letupan tidak berlaku. Semestinya kita mengharapkan yang terbaik tapi kita perlu bersiap sedia untuk senario paling teruk,” ujar beliau lagi.

Gunung Agung memuntahkan debu, asap tebal dan lahar sejak 19 September lalu. Sejauh ini, lebih 120,000 penduduk telah dipindahkan.

Jika meletup, apa yang akan berlaku?

Elemen paling berbahaya dalam mana-mana letupan gunung berapi ialah aliran pyroclastic yang mengandungi gas yang amat panas, debu dan batu-batu yang boleh mengalir ratusan kilometer sejam.

Aliran ini sangat digeruni kerana boleh membunuh manusia tanpa sebarang amaran.

“Jika ini berlaku pada waktu malam semasa orang ramai sedang tidur, mereka hanya ada beberapa saat atau minit untuk berpindah.

“Mereka boleh terperangkap dan mati. Itulah yang berlaku pada 1963 dan di Gunung Merapi pada 2010,” kata pensyarah Fakulti Sains dan Kejuruteraan Universiti Teknologi Queensland Profesor Madya Scott Bryan kepada The Guardian.

Walaupun pihak berkuasa tempatan sudah mengambil pelbagai langkah keselamatan, Bryan mengatakan tiada cara lain untuk memastikan kesan aliran pyroclastic.

Gunung suci ini pernah meledak dua kali pada 1963. Letupan itu adalah yang terbesar sehingga kini.

Tunggu dan Saksikan

Tatkala pemerintah Bali sibuk dengan usaha-usaha mitigasi, ramai penduduk di pulau majoriti Hindu itu menyiapkan diri mereka untuk berdepan dengan ketentuan dengan menanam kepercayaan dalam Dewa Agung.

“Kami hanya mampu memohon kekuatan untuk menempuhi segala rintangan dan halangan,” ujar sami di Pura Besakih, Gusti Mangku Paruna Kubayan.

Pura Besakih merupakan ‘ibu’ segala pura di Bali.

Pura yang terletak di barat daya kaki gunung berkenaan terjejas teruk akibat letusan pada 1963.

Menurut beliau lagi, letusan kedua pada tahun tersebut lebih dahsyat daripada yang pertama dan telah memusnahkan semua makam di pura itu.

Keadaan bahaya di sekitar Pura Besakih tidak menghalang Gusti Mangku untuk melakukan upacara yang beliau anggap lebih penting daripada berlindung dalam Pura Banjar Pekandelan Klod bersama penduduk-penduduk lain.

Beliau percaya Dewa Agung akan memberi petanda kepada beliau menjelang letusan itu nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here