Petanda positif raih kejayaan gemilang: Rabuan

0
11



Kuala Lumpur: Kejayaan cemerlang dilakar skuad olahraga kebangsaan dalam beberapa kejohanan luar negara sejak kebelakangan ini menjadi petanda positif untuk memburu kejayaan gemilang pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bulan depan.

Bekas raja pecut Asia Datuk Rabuan Pit (gambar) memuji tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghantar skuad kebangsaan menyertai pertandingan selain latihan intensif luar negara seperti di Afrika Selatan yang disifatkan cara terbaik meningkatkan prestasi atlet negara.

“Saya melihat kejayaan atlet kebangsaan ketika ini satu petanda positif sebelum Sukan SEA.

“Sekiranya mereka dapat mengekalkan prestasi sedia ada, saya yakin skuad negara dapat mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar atlet terdahulu pada era 80-an,” katanya.

Rabuan, 61, yang juga pesara polis, menjelaskan beliau tidak bimbang dengan kemuncak prestasi ditampilkan skuad kebangsaan ketika ini sambil berharap mereka dapat mengekalkan prestasi masing-masing semasa berlangsungnya temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Pemenang dua emas Sukan SEA 1979 Jakarta itu turut mengingatkan skuad kebangsaan supaya tidak memandang rendah cabaran beberapa negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia yang dijangka memberi saingan sengit kepada kontinjen negara.

Beberapa atlet kebangsaan sebelum ini termasuk dua pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah Zulkifli, berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m lelaki dan wanita.

Atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin, turut memperbaharui rekod kebangsaan ketika menyertai beberapa pertandingan olahraga di Jerman.

Acara olahraga Sukan SEA 2017 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 19-26 Ogos depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here