Petronas ambil kira tiga faktor bagi prospek harga minyak

0
86
Advertisement

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil kira tiga faktor iaitu, penawaran, permintaan dan spekulasi apabila mempertimbangkan prospek harga minyak.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata gabungan beberapa faktor, terutamanya pengurangan pengeluaran secara suka rela oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara-negara bukan OPEC, telah membantu meningkatkan harga minyak.

“Kita juga melihat gangguan bekalan di Libya. Permintaan dilihat menggalakkan di seluruh dunia dan kami menjangka ini akan berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya dalam satu wawancara dengan Bloomberg TV di Davos, Switzerland.

Beliau berkata syarikat minyak dan gas nasional itu juga akan memantau perkembangan yang berlaku di Timur Tengah, Korea Utara dan lain-lain tempat di dunia yang boleh menjejaskan harga minyak mentah.

Wan Zulkiflee berkata dalam tempoh beberapa tahun lepas, Petronas telah mengambil pelbagai inisiatif strategik dari segi pengurusan syarikatnya berikutan penurunan harga minyak.

“Bagi 2018, syarikat akan lebih banyak menumpukan kepada pertumbuhan menerusi strategi serampang tiga mata.

“Ini termasuk menguruskan wang tunai kami dan keduanya mengembangkan perniagaan teras kami, di mana kami sedang mencari jalan untuk mengembangkan rantaian nilai perniagaan kami.

“Ketiga, menimbang perkara-perkara yang baharu kepada kami, sebagai contoh, potensi untuk terlibat dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan tenaga-tenaga baharu lain,” katanya.

Meskipun optimistik, beliau menjangkakan tiga cabaran utama yang boleh memberi kesan kepada syarikat pada masa hadapan.

Ia melibatkan pelaburan dalam tenaga kerja, terutamanya bidang perniagaan baharu, kitaran harga minyak dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui berbanding bahan api fosil.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here