Petronas komited pastikan Sabah terus terima manfaat

0
71

KOTA KINABALU: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kekal komited dalam memastikan Sabah serta rakyatnya mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada pengeluaran hasil minyak dan gas.

Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan Mohd Zaini Mohd Yunus berkata komitmen Petronas ke arah melestari pembangunan sosioekonomi Sabah dapat dilihat menerusi pelaburan jangka panjang dalam program tanggungjawab sosial korporat yang membabitkan tiga turus utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar.

“Di samping itu, kerjasama erat yang sedia terjalin antara Petronas dan kerajaan negeri akan terus menjana peluang pelaburan tempatan, pekerjaan serta pembangunan tenaga kerja mahir yang berdaya saing dalam sektor minyak dan gas.

“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan atas sokongan kerajaan negeri serta agensinya selama ini dalam usaha membangunkan industri minyak dan gas di Sabah. Sokongan ini begitu bermakna buat Petronas,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya bersama Petronas di sini, hari ini.

Kira-kira 300 tetamu menghadiri majlis rumah itu yang turut menyaksikan Badan Kebajikan Islam Petronas menyerahkan sumbangan RM15,000 kepada lima surau di Sabah yang disampaikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Johnny Mositon.

Surau terbabit ialah Surau Kampung Gayang, Kampung Entulon dan Kampung Karambunai di Tuaran; Surau Al-Masri @ Al-Mutaqin, Kampung Lanas, Kimanis; Surau As-Salam, Kampung Gadong, Kimanis; Surau Kampung Siputol, Sipitang dan Surau Riyadhus Solihin, Kota Kinabalu, masing-masing menerima sumbangan RM3,000.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here