Piala Dunia MPB 2018 milik Sri Pentas

0
270
Advertisement



KUALA LUMPUR: Pasukan Sri Pentas bergelar juara keseluruhan sekali gus merangkul Piala Pusingan dalam aksi Piala Dunia Media Prima Berhad (MPB World Cup) 2018 di Stadium Universiti Malaya (UM) Arena, sebentar tadi.

Sri Pentas mengesahkan kejuaraan selepas memenangi dua daripada tiga kategori dipertandingkan menerusi Terbuka Wanita dan Lelaki Atas 40.

Pada perlawanan pertama membabitkan kategori Lelaki Bawah 40, pasukan Balai Berita terlebih dulu menunjukkan taring apabila menewaskan Sri Pentas dengan keputusan 5-4 menerusi penentuan penalti.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masing-masing menjaringkan gol ketika aksi babak pertama. 

Bersambung babak kedua, Balai Berita dan Sri Pentas saling mengasak namun buntu menemui jaringan, menyaksikan keputusan seri kekal hingga wisel penamat.

“Kejohanan seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama sendiri, malah semua pemain dilihat menunjukkan semangat kesukanan masing-masing,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Digital Sdn Bhd, Rafiq Razali merangkap pengurus pasukan Lelaki Bawah 40 Tahun Sri Pentas.

Sementara itu, dalam perlawanan membabitkan Terbuka Wanita, Sri Pentas mengecewakan Balai Berita dengan keputusan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga wisel penamat.

Sri Pentas terus menguasai perlawanan dalam kategori terakhir dipertandingkan selepas melakar kemenangan bergaya 3-1 mengatasi Balai Berita dalam kategori Lelaki Atas 40.

Terdahulu, pada aksi separuh masa pertama, permainan kedua-dua pasukan nampak seimbang namun Sri Pentas terlebih dulu mendahului Balai Berita 1-0. 

Bersambung babak kedua, Sri Pentas mengesahkan kemenangan menerusi dua jaringan cantik yang memerangkap penjaga gawang Balai Berita.

Juara setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM500 manakala naib juara menerima RM250. 

Anugerah Pasukan Sorak Terbaik juga milik Sri Pentas dan mereka membawa pulang hadiah bernilai RM500.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid yang turut beraksi menyifatkan kejohanan yang berlangsung malam ini dapat meningkatkan hubungan antara kakitangan sekali gus berharap ia dapat diteruskan tahun depan.

Abdul Jalil bertindak selaku pengurus pasukan Lelaki Atas 40 Balai Berita dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN), Johan Ishak mengemudi pasukan Sri Pentas.

Ketua Pegawai Eksekutif Big Tree Outdoor Sdn Bhd (Big Tree), Mohamad Shukor Ariffin pula mengendalikan pasukan Lelaki Bawah 40 Balai Berita manakala Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB, Farnida Ngah pula bertindak selaku pengurus pasukan Terbuka Wanita Balai Berita.

Pasukan Sri Pentas dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here