Pikap gaya urban

0
355
Advertisement



Kegunaan pikap kini bukan sekadar keperluan komersial atau kerja pembinaan, namun lebih terarah kepada gaya hidup urban.

Salah satu model menarik perhatian dalam pasaran ialah Mitsubishi Triton yang memperkenalkan varian Athlete dengan gaya lebih ranggi dan lasak.

Penulis berpeluang memandu uji model berkenaan, baru-baru ini, untuk kegunaan harian dan hujung minggu selepas ditawarkan Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd (MMM).

Untuk model Triton, pikap ini sudah memasuki pasaran tempatan sejak 2006 dengan pelbagai varian untuk mereka yang mahukan jentera lasak harian.

Model Athlete diperkenalkan Januari lalu adalah tertinggi daripada tujuh varian Triton ditawarkan.

Melihat kepada rekaan luaran, ia hanya didatangkan dalam satu pilihan warna iaitu Hitam Mica, manakala bampar dan gril hadapan bercorak ‘honeycomb’ sebagai sentuhan gaya prestasi.

REKAAN bampar dan gril baru.

Bahagian lain kebiasaannya warna krom kini dihitamkan untuk lebih tampak elegan iaitu pemijak sisi dan sisi, pemegang pintu, bampar dan spoiler pada pintu kargo belakang.

Dipadankan dengan sedikit garisan oren dan kelabu pada beberapa bahagian badan, menjadikan pikap ini berbeza daripada model lain termasuk rim aloi 17 inci warna hitam, manakala ‘sports bar’ baru pada kargo dilihat sepadan dengan konsep rangginya.

GARISAN oren dan kelabu tampil bergaya.

Lampu hadapan Auto Bi-Xenon HID juga antara ciri terkini pada Athlete, selain lampu nyalaan siang (DRL) menjadikan kenderaan ini mudah dilihat dalam sebarang cuaca.

Menjengah ke ruang kabin dalaman, meskipun berjasadkan pikap namun sistem hiburan dan maklumat terkini dengan ketersambungan Apple Car Play bersama skrin sesentuh bersaiz tujuh inci, pemain CD, fungsi arahan suara, USB dan Bluetooth adalah yang terbaik.

WARNA hitam tampil elegan.

Meter kelajuan dengan Paparan Maklumat-Pelbagai (MID), cermin padangan belakang electrochromic, enam pembesar suara, tingkap kuasa, tempat meletak minuman dan perehat tangan dengan tempat menyimpan barang antara elemen tambahan yang ditawarkan.

Ia juga dipadankan dengan kerusi kulit berwarna hitam dan oren disulam perkataan Athlete sebagai ciri eksklusif.

Untuk kerusi pemandu, ia boleh dilaras menggunakan tenaga seperti varian VGT Adventure X, manakala bahagian penumpang belakang dipasang ISOFIX untuk meletak kerusi bayi.

KERUSI kulit selesa.

Roda stereng kulit dengan fungsi butang audio dan pelayaran, kawalan suara dan pedal shifter dengan sentuhan jahitan oren menyerlahkan lagi kehalusan rekaan pada sisi pintu.

Untuk keselesaan tambahan, sistem pendingin hawa dua zon ditawarkan untuk pemandu dan penumpang dengan suhu berbeza bergantung kepada keselesaan individu.

BAHAGIAN penumpang belakang dengan Isofix.

Triton Athlete masih mengekalkan enjin 2.4L MIVEC Diesel Turbo DI-D pacuan empat roda (4WD) yang menjana kuasa 181PS pada 3,500rpm dengan kekuatan daya kilas sehingga 430Nm pada 2,500rpm. Nadi ini menawarkan kuasa yang lancar dan berterusan terutama untuk kegunaan laluan lasak.

Dilengkapi kotak gear transmisi automatik lima kelajuan dengan mod manual pada tuil gear, sementara ‘pedal shifter’ untuk menikmati pemanduan ala perlumbaan.

Untuk menggunakan fungsi pacuan empat roda pintarnya mudah dilakukan pada butang pilihan 4WD di tengah konsol, boleh ditukar ketika kenderaan bergerak terutama ketika melalui laluan pendakian atau menuruni bukit off-road yang mengawal putaran roda dan tenaga tork secara automatik.

ENJIN 2.4 liter MIVEC Turbo Diesel.

Untuk pemanduan di jalan raya sebagai pikap, olengan masih dirasakan, namun tidak terlampau ketara terutama larasan suspensi hadapan Independent Wishbone dan spring gegelung.

Pada bahagian belakang dengan spring dedaun eliptik keras berfungsi baik terutama ketika membawa muatan berat dan menjelajahi laluan off-road.

Ciri keselamatan terbaik ditawarkan pada model ini dengan tujuh beg udara, Kawalan Cengkaman dengan Kawalan Kestabilan Aktif (ASTC), Bantu Kestabilan Treler (TSA), Bantu Mula-Bukit (HSA), penapis cermin keselamatan dan Kunci Pintu Auto.

PAPAN pemuka dengan roda stereng pelbagai fungsi.

Bahagian kerangka teguh pula dibina daripada Evolusi Keselamatan Impak Diperkukuhkan Mitsubishi (RISE) bagi memberi ketahanan sesuai pada tujuan asalnya mengharungi laluan lasak dan membawa muatan.

Secara keseluruhan, Triton Athlete menawarkan sebuah pikap sporty dengan tenaga enjin sesuai untuk pelbagai permukaan jalan terutama laluan lasak dengan jarak kelegaan bumi sekitar 205 milimeter (mm).

Warna hitam dengan padanan bampar, gril dan rim aloi 17 inci menjadikannya tampil sporty ketika memandu di dalam bandar dan untuk parkir, penulis mudah melakukannya dengan putaran stereng minimum 5.9 meter dan kamera undur tersedia.

SISTEM hiburan dan maklumat dengan paparan kamera undur.

Kerusi kulit selesa untuk perjalanan jarak dekat atau jauh dan empat port USB bagi kemudahan setiap penumpang.

Sudah pasti kelebihan pikap adalah ruang kargo yang luas dan faktor ketinggian memudahkan pemandu melihat pemandangan dan menjadikan perjalanan lebih selamat.

Kemasukan tanpa kunci dan butang menghidupkan enjin serta rekaan lampu hadapan baru menjadikan Athlete sesuai buat yang berjiwa ‘Urban Adventure’.

RIM aloi bersaiz 17 inci.

Bahan api diesel mencatatkan penjimatan dengan satu isian penuh 75 liter mampu mengharungi perjalanan lebih 600 kilometer (km) dan model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Untuk pasaran tempatan, ia dijual pada harga RM119,866 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 200,000km, yang mana terdahulu.

BAHAGIAN belakang dengan ‘tailgate spoiler’.

MITSUBISHI TRITON VGT ATHLETE

• ENJIN: 2,442 cc MIVEC Diesel Turbo DI-D Common Rail VGT Intercooler

• KUASA MAKSIMUM: 181PS pada 3,500rpm

• TORK MAKSIMUM: 430Nm pada 2,500rpm

• KAPASITI PETROL: 75 liter

• CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, Kawalan Cengkaman dengan Kawalan Kestabilan Aktif (ASTC), Bantuan Kestabilan Treler (TSA), HSA, ISOFIX dan kerangka RISE.

• HARGA: RM119,866 (atas jalan tanpa insurans

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here