Pilihan raya umum Kemboja bakal berlangsung seperti dirancang: PM Hun Sen

0
27

HANOI: Beberapa jam selepas Mahkamah Agung Kemboja membubarkan parti pembangkang, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), pada Khamis, Perdana Menteri Samdech Hun Sen mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum 2018 akan berlangsung seperti yang dirancang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Semasa bersiaran menerusi saluran televisyen rasmi, Perdana Menteri Kemboja itu meminta agar rakyat bertenang selepas CNRP dibubarkan dan berkata pilihan raya 2018 akan diadakan seperti biasa.

Anggota parti pembangkang yang tidak diharamkan daripada aktiviti politik boleh menubuhkan sebuah parti baharu, kata beliau.

Mahkamah Agung Kemboja telah memerintahkan agar CNRP dibubarkan selepas membenarkan saman oleh Kementerian Dalam Negeri. 

Keputusan mahkamah itu turut melarang 118 pegawai kanan parti tersebut terlibat dalam aktiviti politik selama lima tahun bermula dari tarikh perintah dikeluarkan.

Mahkamah Agung merupakan mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Kemboja, dan apabila ia membuat keputusan, tidak ada ruang lain untuk mengemukakan rayuan.

Kementerian Dalam Negeri mendakwa CNRP telah melanggar Undang-Undang Parti Politik yang dipinda dengan serius dan parti itu bersubahat dengan orang asing untuk menjatuhkan kerajaan. 

Pemimpin CNRP, Kem Sokha, ditahan pada 3 Sept atas pertuduhan menderhaka manakala lebih separuh daripada pemimpin lain parti itu telah meninggalkan Kemboja.

Pemilihan Senat Kemboja dijadualkan berlangsung pada 25 Feb 2018.

Ditubuhkan pada 1999, Senat mempunyai 61 kerusi namun hanya 57 senator akan dipilih manakala dua lagi dilantik oleh Raja Norodom Sihamoni, dan bakinya oleh Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lepas yang berlangsung dalam bulan Januari 2012, parti pemerintah Hun Sen iaitu Parti Rakyat Kemboja memenangi 46 kerusi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here