Pinjaman negara semakin menguncup berbanding KDNK – PM Najib

0
73
Advertisement

IPOH: Kadar pinjaman negara semakin menguncup daripada 54 peratus sebelum ini kepada 50.8 peratus, berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, defisit fiskal negara turut berkurang daripada -6.4 kepada -3 peratus sekarang.

“InsyaAllah tahun ini… -2.8 peratus,” katanya ketika berucap pada program Pasca Bajet 2018 bersama penjawat awam di Kolej Sains Bersekutu Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dekat sini, pada Khamis.

Lebih 5,000 penjawat awam dari seluruh negeri Perak hadir bersama-sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Prof Noor Azlan Ghazali berkata, walaupun hutang negara pada 2016 ialah RM648 bilion berbanding KDNK RM1.23 trilion, hampir 79 peratus daripada hutang itu perlu dibayar lebih daripada tiga hingga 20 atau 30 tahun akan datang.

Beliau menjelaskan, bayaran khidmat hutang yang perlu dijelaskan oleh kerajaan pada 2016 ialah RM26 bilion atau 12.3 peratus berbanding hasil kerajaan pada tahun yang sama RM212 bilion.

“Saya bercakap sebagai ahli ekonomi, kalau kita tengok ukuran ini, sebenarnya dalam konteks ini tidak ada yang besar,” katanya ketika taklimat Pasca Bajet 2018 sebelum program bersama Perdana Menteri.

Noor Azlan yang memperolehi kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi daripada universiti terkenal dunia, Harvard University, berkata, penarafan antarabangsa yang dibuat oleh badan dunia termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Malaysia berada di dalam keadaan yang baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here