PM lancar 500 juta unit tambahan saham AHB

0
33

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan saiz dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dinaikkan sebanyak 500 juta unit.

Perdana Menteri turut mengumumkan 50 unit tambahan percuma kepada 200,000 Akaun Remaja yang baru dibuka bermula Isnin depan.

Katanya yang juga Menteri Kewangan, penambahan 500 juta unit saham itu menjadikan keselurunan 4 bilion unit saiz dana AHB.

“AHB ini juga memberi pulangan yang konsisten iaitu sekitar 6.2 peratus.

“Ia suatu tahap pulangan yang begitu menarik sekali di mana kita boleh tunaikan duit kita pada bila-bila masa,” katanya ketika berucap melancarkan 1.5 bilion unit tambahan AHB di sini, hari ini.

Ujar beliau, sejak mula dilancarkan pada 2010, AHB ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai hingga dana itu perlu ditambah sebanyak empat kali.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi PHB, Tan Sri Md Nor Md Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan serta Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Kamalul Arifin Othman.

AHB adalah unit amanah patuh syariah pertama di Malaysia dan diuruskan oleh Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) yang dilancarkan pada 29 November 2010 dengan dana permulaan 1 bilion unit.

Had maksimum pelaburan skim itu kini berjumlah RM500,000 manakala jumlah minimum pelaburan adalah RM100.

AHB diwujudkan bagi memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera supaya dapat turut serta melabur dan mengambil bahagian dalam pemilikan benefisial hartanah komersial perdana di Malaysia melalui pegangan unit dalam AHB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here