PM mahu siasatan segera kematian pelajar tahfiz

0
91



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu siasatan kes kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang dilapor dipukul pembantu warden asrama sekolahnya, disegerakan.

“Saya mahu siasatan kes ini dipercepatkan agar kita tahu punca kematian dan diambil tindakan undang-undang jika ada kesalahan,” katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter hari ini.

Beliau yang sedih dengan pemergian pelajar itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Perdana Menteri berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mewakilinya ke majlis pengebumian pelajar itu, yang kedua-dua belah kakinya dipotong hingga paras peha akibat jangkitan kuman, Jumaat lepas.

Mohamad Thaqif Amin, 11, meninggal dunia pada 2.05 petang tadi ketika sedang dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

BACA:┬áKes pukul pelajar tahfiz diklasifikasi semula sebagai kes bunuh – Ketua Polis Negara

BACA: Pelajar tahfiz Mohamad Thaqif meninggal dunia

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.

“Takziah kepada keluarga, semoga (Allahyarham) ditempatkan bersama para syuhada. Al Fatihah,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.

Kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke HSI pada 19 April menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden madrasah itu.

Selepas kaki, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku, pagi tadi, demi menyelamatkan nyawanya.

Pembedahan bagaimanapun ditangguhkan kerana jantung pelajar itu tidak stabil dan dia turut mengalami demam.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here