PM Najib isytihar Segamat kawasan pembangunan baharu ECER

0
374
Advertisement

SEGAMAT: Segamat hari ini diisytiharkan sebagai kawasan pembangunan baharu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam usaha kerajaan untuk memastikan pertumbuhan masyarakat dan sosioekonomi yang pesat di daerah berkenaan.

Semasa mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkembangan itu membuka era baharu untuk Segamat  sekaligus memacu pertumbuhan daerah itu ke tahap lebih tinggi.

“Oleh kerana kita hendak bangunkan Segamat  secara keseluruhan, dengan ini saya isytiharkan  Segamat  dimasukkan dalam kawasan  ECER.

“Ia akan jadi kawasan pertumbuhan baharu yang akan dibangunkan kerajaan bersama-sama ECER,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata mengambil  kira hubungan Segamat dengan daerah Mersing dan Rompin, Segamat sesuai dimasukkan sebagai kawasan pembangunan ECER.

Selain itu, Najib turut mengumumkan pembangunan semula Pelabuhan Darat Segamat dengan kos RM20 juta.

Beliau berharap pelabuhan berkenaan dapat dibangunkan secara lebih bersepadu dan holistik, sekali gus menggalakkan lebih banyak pelaburan yang boleh membawa limpahan dan manfaat kepada penduduk tempatan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam merangkap Anggota Parlimen Segamat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here