PM Najib tiba di Amerika untuk pertemuan dengan Trump

0
43

WASHINGTON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Isnin pagi untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald J. Trump pada 12 Sept di White House.

Ketibaan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, disambut Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique di Joint Base Andrews di Maryland.

Pertemuan yang akan diadakan atas undangan Trump itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri dijangka memohon sokongan Amerika dalam usaha menghentikan keganasan oleh pihak tertentu terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Kuala Lumpur mengulangi komitmennya untuk memperjuangkan hak etnik Rohingya dan menghantar misi kemanusiaan bagi membantu pelarian yang didakwa meninggalkan kampung halaman mereka untuk mengelak daripada menjadi mangsa penindasan tentera Myanmar.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, Zulhasnan berkata kunjungan Perdana Menteri itu dijangka mengukuhkan lagi Kerjasama Strategik Malaysia-Amerika, di samping untuk mencorakkan kerjasama dari segi hubungan dua hala dan antarabangsa pada masa akan datang.

Najib dan Trump dijadual mengadakan rundingan secara empat mata di Oval Office, diikuti mesyuarat delegasi dengan anggota dan penasihat kanan pentadbiran Trump, termasuk Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rrx Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Turus Jen John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara Lt Jen H.R. McMaster dan Penasihat Kanan Jared Kushner.

Semasa berada di sini, Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan pengerusi dan anggota Jawatankuasa Senat mengenai Hubungan Luar Amerika, sebuah badan berusia 200 tahun yang berperanan penting dalam membentuk dasar luar Amerika, di Capitol Building.

Perdana menteri juga dijadual berucap pada majlis makan tengah hari anjuran Center for Strategic and International Studies (CSIS).

Sementara itu, Rosmah pula dijadual melawat Feynman School di Rockville, Maryland untuk berkongsi amalan terbaik dari segi pembinaan kurikulum untuk kanak-kanak berbakat luar biasa.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan 17 pelajar program Permata yang sedang menuntut di beberapa universiti di Amerika.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here