PM sangkal dakwaan penghapusan GST jejas pendapatan negara

0
72
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathr Mohamad menyangkal dakwaan kononnya hasil pendapatan negara akan merosot sekiranya kutipan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus yang diperkenalkan pada 2015, dihapuskan.

Perdana Menteri berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana kekurangan dana dalam kerajaan sekarang bukan disebabkan kekurangan hasil sumber pendapatan negara tetapi akibat salah guna dan pembaziran wang kerajaan.

Dr Mahathir, yang memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan baharu selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), berkata pendapatan negara sekarang meningkat tiga kali ganda daripada masa pentadbiran beliau.

Tahun lepas, kerajaan mengutip GST sejumlah RM42 bilion.

“Tetapi wang itu disalahgunakan, diguna untuk membeli sokongan bagi (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak. Inilah yang menyebabkan kita kekurangan wang,” katanya dalam sesi penerangan kepada RTM dan Bernama di kediamannya, di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini. Selepas bersara selama 15 tahun, Dr Mahathir kembali semula menerajui pentadbiran negara.

Sebelumini, pemimpin berusia 92 tahun itu menjadi perdana menteri keempat dari 1981 hingga 2003.

Dr Mahathir berkata beliau yakin dengan pengurusan kewangan kerajaan yang cekap dan efisien, negara akan mempunyai dana yang cukup untuk menguruskan perbelanjaan negara.

Sebagai salah satu langkah penjimatan, katanya, kerajaan juga boleh mengurangkan perbelanjaan negara dengan menghentikan atau melewatkan pelaksanaan projek-projek yang tidak penting.

Selain itu, Dr Mahathir turut menekankan mengenai kepentingan meningkatkan daya beli pengguna berbanding pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

“Kalau kita naikkan gaji tetapi harga barang naik kerana kenaikan gaji, orang yang dapat gaji lebih ini tidak lebih mewah daripada dahulu, tidak boleh beli lebih banyak daripada dahulu. Oleh sebab itu, tiap-tiap kali nak dinaikkan gaji, kita nak tengok apa kesannya terhadap kos,” katanya.

Bagi menangani peningkatan kos sara hidup, kerajaan PH dalam manifesto PRU14 berjanji untuk menghapuskan GST dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Mengenai mekanisme penetapan harga mingguan petrol dan diesel sejak Mac 2017, Dr Mahathir berkata buat masa ini kaedah itu akan diteruskan sehingga hasil kajian mekanisme baharu dilaksanakan.

“Kita kaji mekanisme untuk menentukan harga minyak sama ada ia berkaitan dengan harga pasaran dunia atau berkaitan dengan produktiviti kita,” katanya. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here