PM Singapura berharap semua jemaah haji dapat tunaikan ibadat dengan sempurna

0
38

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini berharap semua jemaah haji dapat menunaikan ibadat itu dengan sempurna dan pulang ke tanah air dengan selamat.

“Setiap tahun, jemaah haji dari seluruh dunia berkumpul di Makkah untuk melaksanakan ibadat haji tahunan yang terbesar di dunia,” demikian catatan Lee dalam laman Facebook beliau.

Tahun ini, Lee berkata kerajaan Arab Saudi telah meningkatkan jumlah kuota rasmi haji Singapura daripada 680 kepada 800 jemaah.

“Saya gembira kini lebih ramai jemaah berpeluang untuk menunaikan haji,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, delegasi Singapura diketuai Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, Yaacob Ibrahim.

Dilaporkan bahawa pada mesyuarat Menteri-menteri Haji di Arab Saudi tahun lepas yang dihadiri Yaacob, Singapura juga telah mengemukakan permintaan untuk menambah kuota itu kepada 1,000.

Di republik itu, Lee berkata umat Islam Singapura juga melaksanakan ibadah korban di masjid-masjid hari ini.

“Mereka mengedarkan daging korban kepada golongan miskin dan yang kurang bernasib baik. Ibadah korban ini adalah satu peluang baik untuk kita berkongsi nikmat dengan orang lain dalam semangat gotong-royong dan belas ihsan,” katanya.

Bagi Singapura, tahun ini ia menerima 3,700 ekor kambing biri-biri Australia untuk ibadah korban yang diadakan di 25 masjid berbanding 1,867 kambing biri-biri Australia dan 1,583 anak bebiri Ireland pada tahun lepas.

“Selamat Hari Raya Haji kepada semua rakan-rakan Islam kita!,” kata Lee.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here