PM Singapura tolak tuduhan nepotisme

0
32


PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong bercakap di sidang khas parlimen di Singapura.- Foto Reuters

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini menolak dakwaan adik-beradiknya bahawa beliau menyalah guna kuasa dan mengamalkan nepotisme, ketika sesi khas parlimen berhubung perselisihan keluarga yang mengejutkan republik itu.

Pemimpin berkenaan berkata, beliau juga tidak akan menyaman adik lelaki dan perempuannya berhubung serangan dalam talian berkaitan legasi bapa mereka, Lee Kuan Yew.

Republik itu sekian lama menapis dan menyaman pengkritik keluarga berkenaan.

“Dakwaan mereka tidak berasas,” kata Hsien Loong, 65, kepada sidang parlimen khas.

Adik perempuannya, Wei Ling, 62, dan adik lelakinya, Hsien Yang, 60, menuduh pemimpin itu mengeksploitasi legasi bapa mereka demi agenda politik sendiri dan berusaha mengasah anak lelakinya, Li Hongyi, kini kakitangan awam kanan dalam perkhidmatan data kerajaan, untuk menjadi pemimpin seterusnya.

Perselisihan itu, yang meletus secara terbuka bulan lalu, adalah kemuncak pertelingkahan berkaitan banglo keluarga itu sejak kematian Kuan Yew yang memacu Singapura menjadi sebuah negara kaya, pada 2015.

Hsien Loong membuka satu perdebatan terbuka di parlimen selepas serangan dalam Facebook ke atas beliau dan isterinya, Ho Ching, yang juga ketua eksekutif dana pelaburan negara, Temasek Holdings.

Beliau memohon maaf kali kedua berhubung perselisihan itu dan menolak dakwaan nepotisme. Katanya, siapa yang menerajui Temasek dilantik oleh ahli lembaga yang disahkan Presiden Singapura dan anak lelakinya sudah mengatakan beliau tidak berminat dalam politik.

Dakwaan itu ‘menjejaskan reputasi Singapura,’ kata Hsien Loong kepada parlimen.

“Jika tidak disangkal, ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya dan menambah rakyat sudah ‘letih dengan isu itu dan berharap ia berakhir.’ – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here