PM Thailand kini amalkan cara pelik untuk elak soalan wartawan

0
41
Advertisement

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha, yang dikenali dengan sifat tegas dan adakalanya boleh melenting secara tiba-tiba, telah melaksanakan satu taktik unik untuk mengelakkan diri daripada menjawab soalan yang tidak disenangi daripada wartawan.

Jeneral tentera itu akan meninggalkan sekeping kadbod imej dirinya dengan saiz sebenar untuk wartawan yang mahu bertanyakan soalan, lapor Reuters.

Tindakan itu bagaimanapun dikritik oleh badan hak asasi, Human Rights Watch, yang menyifatkan ketua junta tentera itu membelakangkan kritikan media, apatah lagi ketika demokrasi negara itu masih belum pulih sepenuhnya sejak tahun 2014.

Sebanyak 17 kadbod Prayuth dilihat didirikan di sekitar halaman bangunan kerajaan, masing-masing dengan gaya berbeza termasuk dengan pakaian sukan, sut rasmi dan persalinan tradisional Thai.

Pada Isnin, Prayuth memberi ucapan ringkas di pejabat rasmi sebelum kadbodnya – dengan imej memakai sut dan tali leher – dikeluarkan ‘sebagai ganti’.

Prayuth, yang dikenali dengan cara bergurau yang aneh, kemudian memberitahu wartawan untuk bertanyakan soalan kepada kadbod itu.

“Tanya kepada dia,” ujarnya sambil menunjukkan kadbod tersebut.

Tindakan Prayuth itu tidak banyak didedahkan di media, namun Human Rights Watch berkata, ia menambah senarai reaksi Prayuth yang kurang wajar kepada wartawan.

Prayuth sebelum ini kerap bercakap tanpa mengikut skrip, dan beberapa ulasannya juga kedengaran menjengkelkan.

Pada 2015, dia pernah memberi amaran kepada wartawan bahawa dia memiliki kuasa untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada wartawan. Dalam satu kes lain, dia pernah membaling kulit pisang kepada wartawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here