PNB urus RM279 bilion dana, 98 peratus dilabur dalam negara

0
110
Advertisement

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang ditubuhkan 40 tahun lepas, kini merupakan syarikat pengurusan pelaburan terbesar di Malaysia dengan jumlah dana RM279 bilion, kata Pengurusi Kumpulan itu, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata 98 peratus daripadanya  dilaburkan dalam negara untuk membantu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, termasuk memberi peluang yang saksama kepada golongan profesional Bumiputera terlibat dalam sektor korporat.

Sejak penubuhan PNB, lebih RM172 bilion dividen terkumpul dibayar kepada pemegang unit, katanya dalam ucapan sempena ulang tahun ke-40 PNB pada Sabtu.

Tahun lepas, agihan dividen dan bonus bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang lain melibatkan pembayaran sebanyak RM14.4 bilion.

Abdul Wahid berkata, 70 peratus daripada dana tersebut di laburkan dalam saham-saham tersenarai/ekuiti awam.

“Pelaburan  dalam saham-saham tersenarai bernilai RM200 bilion, merangkumi lebih 10 peratus daripada  nilai modal pasaran syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Ini termasuk 10 syarikat strategik iaitu Maybank, Sime Darby Plantation, Sime Darby Berhad, Sime Darby Property, SP Setia, UMW Holdings, UMW Oil Gas, CCM, CCM Duopharma dan MNRB.

“PNB juga memiliki pelaburan dalam lebih 40 syarikat Teras seperti TM, Axiata, MMC, TNB dan BIMB Holdings dengan PNB memiliki lebih 10 peratus ekuiti atau nilai pelaburan lebih RM1 bilion dalam syarikat tersebut,” katanya.

Wahid juga berkata, PNB dan ASNB mempunyai lebih 1,500 pekerja, dengan separuh daripadanya terdiri daripada anak muda di bawah 40 tahun.

“Jika dicampur dengan kesemua warga syarikat strategik, jumlahnya lebih besar iaitu melebihi 179,000 orang.

“Separuh daripadanya di Malaysia dan separuh lagi di luar negara. Saya bangga kerana 50,000 daripada mereka merupakan rakyat Malaysia,” katanya.

Dari segi kepelbagaian gender, sebahagian besar daripada bakat di PNB terdiri daripada kalangan wanita, dan syarikat strategik PNB mematuhi ketetapan 30 peratus ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada wanita.

Tiga daripada 10 syarikat strategiknya dipengerusikan oleh wanita.

“Mereka terdiri daripada Datuk Mohaiyani Shamsuddin (Pengerusi Maybank), Datuk Normala Abdul Samad (Pengerusi CCM) dan Tan Sri Siti Sa’adiah (Pengerusi CCM Duopharma). Satu lagi contoh ialah Timbalan Presiden PNB yang merupakan satu daripada tiga Timbalan Presiden di PNB.

“Kita juga ada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) wanita, Datin Paduka Kartini, dan Puan Nik Fazila, CEO di CCM,” kata Abdul Wahid.

Tenaga kerja PNB juga bekerja keras melaksanakan kesemua 15 inisiatif strategik di bawah tiga teras ‘STRIVE-15’ yang menýasarkan peningkatan pulangan secara mampan, pengurusan pelaburan berkesan dan memacu kecemerlangan operasi.

Pada November 2016, Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad mengumumkan pelan STRIVE-15 PNB bagi 2017-2022, dengan matlamat menjadikan PNB sebagai firma pelaburan distinktif bertaraf dunia.

“Alhamdullilah, kesemuanya  berjalan lancar dan telah membuahkan pelbagai kejayaan termasuk peningkatan pendapatan yang membolehkan PNB membayar dividen dan bonus sebanyak 7.25 sen serta bonus khas 1.00 sen untuk 10,000 unit pertama kepada pemegang unit ASB sempena ulang tahun PNB yang ke-40,” kata Abdul Wahid.

Pengagihan dividen dan bonus ASB serta unit-unit amanah ASNB yang lain melibatkan sejumlah RM14.4 bilion untuk tahun 2017 dan lebih RM172 billion jumlah terkumpul dividen yang telah dibayar kepada para pelabur sejak PNB ditubuhkan, katanya.

Abdul Wahid berkata kini PNB mempunyai 13.3 juta pelabur.

Beliau juga berkata sempena ulang tahun ke-40 PNB, barisan kepimpinan PNB menyuarakan penghargaan kepada bekas pemimpin PNB, bermula daripada Allahyarham Tun Ismail Ali dan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid atas jasa, bakti dan pengorbanan ke atas institusi  itu.

Penghargaan juga kepada ketua-ketua Pegawai Eksekutif terdahulu iaitu Tan Sri Desa Pachi, Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Mohd Hilmey dan Tan Sri Hamad Kama Piah yang telah membina PNB sehingga menjadi sebuah institusi nasional yang berintegriti, kata Abdul Wahid. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here