Polis Mesir tumpaskan 16 militan

0
25


KAHERAH: Polis Mesir menembak mati 16 militan dalam dua insiden tembakan, dengan kebanyakannya terbabit dalam serangan ke atas pasukan keselamatan di utara Sinai, baru-baru ini.

Kementerian Dalam Negeri berkata, lelaki bersenjata terbabit melepaskan tembakan terhadap polis, ketika mereka menghampiri kem latihan padang pasir untuk militan di Ismailia.

Polis kemudian bertindak balas dengan membunuh 14 militan dan setakat ini, lima daripada mereka sudah dikenal pasti, katanya.

Difahamkan, kem itu digunakan untuk melatih rekrut militan, menggunakan pelbagai jenis senjata serta membuat peralatan letupan.

Dalam kenyataan berasingan, kementerian memaklumkan, pasukan keselamatan turut membunuh dua lelaki disyaki pengganas dalam pelarian dalam satu insiden berbalas tembakan di bandar Giza.

Katanya, lelaki terbabit yang berada dalam sebuah pangsapuri melepaskan tembakan terhadap pasukan keselamatan.

Kedua-dua lelaki itu adalah ahli kumpulan militan baharu dinamakan Hasm, yang mendakwa bertanggungjawab membunuh seorang pegawai keselamatan dalam negeri di luar rumahnya di wilayah Qalubiya, utara Kaherah ketika dalam perjalanan untuk menyertai solat Jumaat.

Mesir berdepan pemberontakan militan diterajui kumpulan pengganas Daesh di semenanjung Sinai, yang mana beratus-ratus tentera dan polis terbunuh sejak 2013.

Dalam perkembangan lain, agensi berita kerajaan Mesir MENA melaporkan, sekurang-kurangnya dua anggota polis terbunuh dan sembilan lagi cedera apabila kenderaan berperisai mereka terkena letupan di Sinai.

Serangan berlaku sehari selepas sekurang-kurangnya 23 anggota tentera terbunuh selepas diserang pengebom nekad kereta di dua pos pemeriksaan di wilayah itu.

Daesh mengaku bertanggungjawab menjalankan serangan itu dan ia adalah satu serangan paling berdarah terhadap pasukan keselamatan negara itu sejak bertahun-tahun. – REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here