Polis parah, kemalangan ketika kejar lelaki mencurigakan

0
29



Seorang anggota polis parah dan kini menerima rawatan di Hospital Serdang apabila terlibat dalam kemalangan ketika mengejar seorang lelaki awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari berkata Lans Koperal Mohd Ridzuan Harun cedera di bahagian muka serta retak di kepala dan berlaku pendarahan di bahagian dalam, dan dia masih tidak sedarkan diri.

Beliau berkata dalam kejadian 1.10 pagi itu, Mohd Ridzuan bersama seorang rakan setugas membuat rondaan bermotosikal di sekitar Puchong sebelum terserempak dengan seorang lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Tasik Prima.

“Mereka menghampiri lelaki itu untuk tujuan pemeriksaan namun lelaki itu terus memecut motosikalnya. Mereka mengejar lelaki itu sebelum kedua-dua anggota polis itu dipercayai terpisah satu sama lain,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, apabila tiba di hadapan sebuah kilang di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, rakan setugas Mohd Ridzuan menemuinya terbaring berhampiran motosikalnya.

Lelaki yang dikejar tidak lagi kelihatan namun dia meninggalkan motosikalnya sebelum melarikan diri, kata Mohammad Azlin.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here