Polis sahkan identiti mangsa kemalangan maut PLUS di Nibong Tebal

0
72



NIBONG TEBAL: Polis hari ini mengesahkan identiti mangsa kemalangan maut di KM 155.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara dekat sini pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Khosim Ismail, 32 tahun, dan isterinya Khairunnisa Ahmad Kamaluddin, 31, dari Felda Lepar Utara, Jerantut, Pahang.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr M Sukumar ketika dihubungi memaklumkan dua anak pasangan itu, Khairiyah Alisha Khosim,10, cedera parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya, manakala Khaira Amni Khosim, 1 tahun 5 bulan, pula patah tulang paha kanan dan ditempatkan di wad kanak-kanak.

Adik perempuan Mohd Khosim yang enggan dikenali berkata mereka sekeluarga terkejut dengan berita kemalangan yang mengorbankan nyawa abang sulung serta kakak iparnya itu.

Beliau yang enggan mengulas panjang hanya memaklumkan abangnya dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghantar barang dan tidak menyangka mangsa turut membawa ahli keluarga bersama.

Katanya lagi, kali terakhir beliau berkomunikasi dengan abangnya adalah melalui pesanan WhatsApp kira kira jam 4 petang sebelum kemalangan.

Tambahnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa mangsa.

Kedua dua jenazah telah dituntut ahli keluarga dan akan dikebumikan di Jerantut, Pahang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here