Polis siasat dakwaan pergaduhan punca insiden panik di Oxford Street

0
18

LONDON: Polis sedang menyiasat punca berlakunya suasana panik di stesen kereta api bawah tanah Oxford Street pada Jumaat yang kini dipercayai tercetus akibat satu pergaduhan.

Beberapa saksi memberitahu terlihat dua kumpulan lelaki bertembung di platform yang sesak dengan orang ramai ketika kejadian.

Ahli farmasi Alyssa Puddle, 25, berkata pergaduhan itu telah menyebabkan orang ramai panik dan bertempiaran lari.

“Saya berada di platform menunggu kereta api, dan keadaan sesak. Saya nampak sekumpulan 20 lelaki dari satu arah dan dua lelaki lain dari arah bertentangan,” kata Puddle sepertimana dipetik portal Mirror.

“Mereka bertembung dan pergaduhan tercetus daripada itu. Disebabkan keadaan begitu sibuk, orang ramai saling tolak menolak dan terperangkap dalam pergaduhan yang menjadi semakin besar itu,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi saksi Regan Warner berkata dia nampak seorang lelaki bertembung dengan lelaki lain di platform yang sesak itu pada jam 4.35pm.

“Mereka bertengkar, tumbukan dilepaskan ke perut, kemudian bertukar menjadi pergaduhan besar,” kata Warner.

“Orang ramai berteriak cuba menenangkan mereka. Mereka bertempiaran lari, seorang wanita pengsan, kanak-kanak ketakutan dan menangis.

“Butang kecemasan ditekan. Pergaduhan berakhir dan kedua-dua kumpulan berjalan ke arah berlawanan,” katanya lagi.

Dilaporkan 16 orang dikejarkan ke hospital akibat cedera ringan dengan seorang daripadanya mengalami trauma teruk pada kaki.

Pihak berkuasa pengangkutan London dalam pada tu mengesahkan Stesen Kereta Api Oxford Circus kini dibuka semula.

Stesen berkenaan ditutup petang Jumaat selepas amaran keselamatan besar-besaran dikeluarkan.

Penutupan stesen dibuat selepas polis menerima laporan berlakunya insiden tembak menembak di Oxford Circus yang menyebabkan situasi panik di kawasan berkenaan.

Namun polis mengesahkan tidak menemui suspek atau bukti tembakan dilepaskan di kawasan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here