Polis Thailand rampas 123 kilogram dadah

0
96
Advertisement

SONGKLA: Polis Thailand merampas tiga buah beg besar berisi 123 kilogram dadah jenis “Ice” (Crystal Methaphetamine) di Hatyai yang akan dihantar ke sebuah negara ketiga yang tidak dinamakan.

Ketua Polis Bahagian Ke-6 Kol Sompong Suwannawong berkata, seorang lelaki berusia 29 tahun dikenali sebagai “Paisarn” dan berasal daripada wilayah Satun ditangkap pada Jumaat yang membawa kepada penemuan dadah itu.

“Suspek mengakui beliau akan menerima upah sebanyak 100,000 Baht (RM12,600) jika berjaya menghantar dadah itu ke negara ketiga,” katanya pada sidang media, tanpa mendedahkan nama negara ketiga.

Beliau juga berkata, dadah itu dipercayai milik seorang pengedar dadah dikenali sebagai “Bae Wa” dengan jumlah keseluruhan dadah cuba dihantar ke beberapa lokasi di selatan Thailand melebihi 200 kilogram, yang diisi dalam enam buah beg.

Selasa lepas, polis Thailand menemui tiga buah besar berisi 95 kilogram dadah “Ice” di sebuah resort pelancongan di wilayah Satun yang bersempadan dengan negeri Perlis di utara Malaysia, tetapi tiada tangkapan dilakukan.

Mereka percaya dadah itu akan diseludup ke Malaysia, sebagaimana juga dengan rampasan-rampasan dadah “Ice” sebanyak 100 kilogram di Padang Besar pada 3 Feb lepas dan 300kg “Ice” dalam sebuah lori berisi tembikai baru-baru ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here