Pope cadang lantik 'orang tengah' isu Pyongyang, AS

0
54


POPE Francis mencadangkan negara ketiga seperti Norway berperanan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian antara Korea Utara dan Washington. – Foto EPA

KAHERAH: Pope Francis mencadangkan negara ketiga seperti Norway berperanan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian antara Korea Utara dan Washington, sekali gus meredakan keadaan yang sudah ‘terlalu panas’, selain ancaman kemusnahan nuklear.

Francis berkata, beliau percaya ‘sifat kemanusiaan’ akan musnah sekiranya peperangan dibiarkan berleluasa.

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang bakal mengunjungi Eropah bulan depan.

Bagaimanapun, Francis berkata, beliau tidak mengetahui sama ada Washington sudah membuat permohonan untuk bertemu dengannya.

Mengulas mengenai isu ketegangan hubungan antara Korea Utara dan Amerika Syarikat, beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memainkan semula peranan diplomasinya yang semakin diperkecilkan sejak kebelakangan ini.

“Saya menyeru dan akan terus menyeru semua pemimpin dunia, seperti saya menyeru lain-lain pemimpin di pelbagai tempat, untuk berusaha mencari jalan penyelesaian masalah menerusi kaedah diplomasi,” katanya mengenai krisis Korea Utara.

Dalam pada itu, wakil Rumah Putih ketika dihubungi, gagal memberikan sebarang komen.

Francis berkata demikian selepas Korea Utara melancarkan ujian senjata balistik sebaik sahaja Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson mengeluarkan amaran, bahawa kegagalan membendung program senjata balistik dan nuklear akan menyebabkan bencana.

“Ada ramai fasilitator di dunia ini, ada orang tengah yang menawarkan khidmat mereka, contohnya Norway.

“Norway sentiasa bersedia memberikan pertolongan. Itu baru satu, tetapi ada banyak lagi. Tetapi laluannya adalah laluan perundingan, penyelesaian diplomatik,” katanya dalam sidang media yang berlangsung selama 30 minit.

Pada awal 1990-an, Norway secara rahsianya mengadakan rundingan perjanjian antara Israel dan Palestin yang dikenali sebagai Perjanjian Oslo.- Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here