Prabowo samakan Indonesia seperti Korea Utara ketika membantah keputusan Pemilu

0
54
Advertisement


JAKARTA: Bekas jeneral, Prabowo Subianto membandingkan Indonesia seperti Korea Utara ketika memulakan proses perundangan bagi membantah keputusan Pemilihan Presiden (Pemilu).

Beratus-ratus penyokongnya juga mengadakan perhimpunan dan mengibarkan bendera bagi membantah keputusan Pemilu itu.

Dalam ucapan berapi-api di Mahkamah Perlembagaan, Prabowo membidas pemilihan yang disifatkannya sebagai “tidak amanah” dan “tidak adil”, di mana beliau tewas di tangan Gabenor Jakarta, Joko Widodo.

Widodo, bekas pengeksport perabot yang juga dikenali sebagai Jokowi, berjaya menawan hati pengundi dengan gaya bersahajanya ketika memegang jawatan sebagai Gabenor Jakarta. Beliau adalah juga pemimpin pertama bukan daripada kalangan golongan elit politik dan tentera.

Prabowo, tokoh ketenteraan kontroversial yang mula bertugas sejak zaman Suharto, juga mengisytiharkan dirinya menang pada pemilihan presiden 9 Julai lalu, tetapi keputusan rasmi yang diumumkan dua minggu kemudian mengesahkan kemenangan Widodo.

Bekas jeneral itu, yang dikatakan berusaha untuk mengecapi jawatan presiden selama satu dekad, bagaimanapun enggan menerima keputusan itu dan mendakwa berlaku penipuan dan perlanggaran peraturan secara berleluasa ketika pengiraan undi.

Pasukannya memfailkan aduan panjang lebar di Mahkamah Perlembagaan terhadap suruhanjaya pilihanraya, yang mana mahkamah berkenaan berkuasa untuk memutuskan pertikaian mengenai pilihan raya.

Mereka mendakwa yang beliau adalah pemenang sebenarnya dan berlaku penipuan di puluhan ribu pusat mengundi. Pegawai pilihan raya juga gagal mengarahkan pengiraan semula undi di kebanyakan tempat di mana ia sepatutnya dikira semula. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here