Prasarana akan kurangkan bekalan OM dari firma asing

0
54
Advertisement

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menyasarkan untuk mengurangkan pembelian bahan operasi dan penyelenggaraan (OM) daripada pembekal asing sebanyak 20 peratus dalam masa lima tahun dengan meningkatkan pembabitan vendor tempatan dalam industri kereta api.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Masnizam Hisham berkata pada masa ini nisbahnya adalah 80 peratus pembekal asing dan 20 peratus pembekal tempatan.

“Di dalam tender, kami sudah mewajibkan kepada pembekal untuk mempunyai 30 peratus kandungan tempatan, dan selain itu kami juga menggalakkan lokalisasi bagi mendapatkan lebih banyak pemindahan  teknologi dan untuk pembekal mendapat rakan kongsi tempatan bagi sebahagian bekalan,” katanya  kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian dengan rakan industri kereta api tempatan di sini, hari ini.

Prasarana menandatangani perjanjian itu dengan dua vendor tempatan, Amantronic Sdn Bhd (Amantronic) and LCE Resources Sdn Bhd (LCE Resources), kerjasama penting dalam membangunkan bakat tempatan dalam perniagaan kereta api negara.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Infra Prasarana, Ahmad Nizam Mohd Amin, menandatangani bagi pihak Prasarana manakala Amantronic  diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Izwan Shah Mohd Sabri Daniel, sementara LCE Resources oleh Pengarahnya, Thai Kam Weng.

Masnizam berkata, Malaysia yang tidak mempunyai industri membekalkan kereta api, bergantung kepada firma asing.

Lebih banyak pemain tempatan harus ke hadapan dan mencari peluang di dalam industri yang sedang berkembang ini dengan memenuhi piawaian diperlukan dan menjadi secekap mungkin untuk menerima teknologi, katanya.

“Melalui Program Koloborasi Industri (ICP) yang digabungkan di dalam tender kerjasama dengan Agensi Depositori Teknologi (TDA), kami meletakkan syarat bon tambahan sebanyak lima peratus bagi memastikan pembekal berusaha sebaik mungkin untuk bekerjasama dengan vendor tempatan dalam pemindahan teknologi juga akses kepada pasaran luar negara.

“Bon ICP ini sebagai tambahan kepada bon prestasi dan bayaran pendahuluan yang dilucuthakkan jika tidak memenuhi syarat,” kata Masnizam.

Selain itu katanya, kerajaan juga mewajibkan pembekal asing untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan bagi ‘rolling stocks’ mereka.

Masnizam berkata, Prasarana pada masa ini sedang bekerja rapat dengan TDA dan Pertubuhan Industri Rel Malaysia juga dengan pengendali kereta api lain untuk meningkatkan industri ini bagi menarik pelabur tempatan.

Katanya, sistem kereta api sudah beroperasi lebih 20 tahun dan banyak bahagian yang perlu diselenggara dan diganti akibat sudah haus dan lusuh kerana banyak komponen yang sudah usang.

Ini membabitkan kos kewangan yang tinggi selain masa untuk penghantaran yang lama, katanya.

Untuk OM kereta api, Prasarana akan membelanjakan kira-kira RM350 juta setahun untuk sistem transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT), katanya.

“Dengan kurang pengantungan terhadap produk asing, bekerja dengan rakan kongsi tempatan dapat mengurangkan kos OM selain membuat sasaran sebanyak 20 peratus untuk kecekapan dan pengoptimuman kos.

“Kami menjangka dapat mengurangkan kos sebanyak lima kali jika bekerja dengan firma tempatan kerana kita tidak perlu menanggung pertukaran mata wang asing dan kos penghantaran, juga ia dapat memperbaiki masa pemulihan di samping mengukuhkan industri tempatan,” katanya.

Di bawah perjanjian itu, Amantronic diberi kuasa untuk mempromosi dan memasarkan Sistem Pelinciran Kereta Api yang dibangunkan oleh Rapid Rail dalam mengurangkan masalah bunyi untuk gerabak LRT laluan Kelana Jaya.

LCE Rsources sebaliknya, dilantik bagi membangunkan Sistem Pintu Skrin platform untuk LRT laluan Kelana Jaya yang membabitkan lima stesen bawah tanah – Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, Kuala Lumpur City Centre dan Ampang Park. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here